300 penumpang naiki feri terakhir ke Langkawi

Lebih 300 penumpang menaiki feri terakhir ke Pulau Langkawi di Terminal Feri Kuala Kedah pada 6 petang semalam , sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di daerah Kota Setar bermula tengah malam ini.

Tinjauan di terminal berkenaan, mendapati penumpang mengambil peluang kembali ke pulau itu sama ada untuk bekerja atau pulang ke kampung.

Penumpang, Safi Abdullah, 19, berkata dia datang menziarah keluarga mentuanya di Alor Setar dua hari lalu, dan sepatutnya pulang ke Langkawi esok.

“Sebaik sahaja mendapat maklumat bahawa kerajaan akan melaksanakan PKPD Secara Pentadbiran di Kota Setar, saya terus beli tiket untuk pulang petang ini juga.



“Jika tidak selepas dua minggu baru saya dapat balik jumpa anak dan suami saya di Langkawi,” katanya ketika ditemui di Terminal Feri Kuala Kedah, petang ini.

Petugas di terminal berkenaan, Faizuddin Shah Shaaran, 30, berkata, dia membantu menghantar rakannya menaiki feri petang ini walaupun rakannya masih bercuti.

“Kawan saya bekerja di sebuah hotel di Langkawi, dia masih ada baki cuti dua hari lagi tapi terpaksa pulang petang ini agar tidak terkandas selama dua minggu .

“Selain itu, ramai juga pelajar sekolah yang berasal dari Langkawi menaiki feri ke pulau itu petang ini,” katanya.



Sementara itu, penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah, Siti Zubaidah Ahmad, 34, berkata dia hanya mengetahui PKPD Secara Pentadbiran akan dilaksanakan di Kota Setar selepas menaiki feri pada 2.45 petang tadi.

“Saya memang balik ke kampung di Kuala Sungai, Kubang Rotan setiap minggu kerana anak dan suami saya ada di sini.

“Saya akan berbincang dengan majikan saya kerana kawasan kampung saya juga dikenakan PKPD Secara Pentadbiran,” katanya. HM



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker