Masalah air di Kelantan selesai menjelang 2023 – Tuan Ibrahim

Share

Kelantan dijangka menerima bekalan air yang sempurna menjelang 2023, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata ia berikutan terdapat proses pembesaran dan naik taraf di beberapa loji air utama yang sedang dilaksana di negeri itu di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

“Isu besar yang berlaku di Kelantan adalah masalah sumber air, (serta) pengambilan sumber air bawah tanah lebih daripada 50 peratus dan menyebabkan kos rawatan sangat tinggi.


“Kerajaan telahpun meluluskan peruntukan baharu untuk kita membuat penambahan (dan) pembesaran loji di Kelantan dan pengurangan NRW (kadar air tidak terhasil) yang agak tinggi di Kelantan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Dr Ahmad Azam Hamzah yang ingin tahu sekiranya masalah kualiti air di Kelantan dan masalah bekalan air yang sering terputus di Pahang dapat diselesaikan jika tarif air dinaikkan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata Pahang adalah antara negeri yang kritikal dari segi kedudukan kewangan kerana tarif air yang telah lama tidak disemak.


Berikutan itu, beliau berkata kerajaan negeri Pahang dijangka melakukan migrasi kepada kerajaan pusat pada Oktober ini supaya dapat menyelesaikan hutang yang ditanggung oleh kerajaan pusat.

“Di Pahang, semakan terakhir tarif air ialah pada 1983…37 tahun Pahang tidak pernah menaikkan tarif air dan Pahang merupakan negeri yang paling rendah tarif air iaitu 79 sen pada setiap meter padu,” katanya.

Terdahulu, menjawab soalan Ahmad Azam yang ingin tahu sebab kerajaan pusat mengarahkan kerajaan negeri menstruktur semula tarif air, menteri itu berkata purata air di Malaysia adalah rendah iaitu RM1.39 bagi satu meter padu berbanding purata kos sebenar iaitu RM2.35 bagi satu meter padu.


Beliau berkata kos itu ditanggung oleh operator air untuk membekalkan air kepada pengguna dan keadaan ini menyebabkan operator berada dalam keadaan kewangan yang defisit dan sukar untuk mengekalkan perkhidmatan berkualiti.

Oleh itu, beliau berkata Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah memperkenalkan Mekanisme Penetapan Tarif Air yang mempunyai ciri-ciri seperti penyeragaman struktur tarif sedia ada dan pelarasan kadar tarif sedia ada.

Menurutnya, pelaksanaan mekanisme itu memerlukan penglibatan dan persetujuan daripada kerajaan negeri memandangkan operator air merupakan syarikat yang dimiliki penuh oleh kerajaan negeri.
BERNAMA

Leave a Reply