Selepas Warisan Umum calon, hanya bersisa 7 kerusi untuk PKR Sabah
Gabungan parti Warisan, Pakatan Harapan, dan Upko hari ini mendedahkan calon-calon masing-masing untuk pilihan raya negeri Sabah, tetapi ketika pengumuman itu berlangsung, perwakilan PKR di dewan itu dilihat ‘gelisah’ seperti ‘tidak senang duduk’.
Sekumpulan anggota PKR kemudian dilihat meninggalkan dewan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu selepas berbincang dengan ketua PKR Sabah Christina Liew.
Semakan senarai-senarai calon berkenaan mendapati PKR hanya memperolehi separuh daripada jumlah kerusi yang diharapkan.
Semalam, PKR Sabah mengumumkan akan bertanding di 14 kerusi tetapi ketika Presiden Warisan Shafie Apdal mengumumkan calon gabungan tersebut hari ini, PKR hanya diberikan tujuh kerusi untuk bertanding.
Kerusi yang diberikan adalah Api-Api, Inanam, Tempasuk, Tamparuli, Matunggong, Klias, dan Sook.
Klias dan Sook adalah dua kerusi yang diberikan kepada PKR, sementara lima kerusi selebihnya pernah ditandingi oleh PKR pada pilihan raya umum 2018.
Dalam pengumuman PKR Sabah semalam, parti itu menjangkakan Warisan akan turut menyerahkan kerusi Kemabong, Membakut, dan Petagas kepada mereka.
Walau bagaimanapun, Warisan menyerahkan kerusi Kemabong kepada Upko dan mengekalkan bertanding untuk kerusi Membakut dan Petagas.
PKR juga menuntut empat daripada 13 kerusi baru yang diperkenalkan iaitu Segama, Limbahau, Sungai Manila, dan Pintasan tetapi Warisan membolot semua kerusi itu.
Sebagai pertukaran untuk kerusi yang diintainya, PKR bersedia untuk menyerahkan kerusi Kadaimaian, Kuala Penyu, dan Karanaan. Namun, ini dijangka tidak akan berlaku memandangkan parti tersebut tidak berpuas hati dengan agihan kerusi seperti yang diharapkan itu.
Selepas perwakilan dari PKR dan Liew keluar dari dewan tersebut, wartawan kemudian menyusuri Liew untuk mendapatkan penjelasannya.
Walau bagaimanapun, Liew enggan memberikan sebarang komen dan berkata bahawa dia ingin ke tandas.
Liew dan perwakilan PKR kemudian tidak kembali ke dalam dewan tersebut.
Apabila calon pilihan raya yang diumumkan diminta naik ke atas pentas untuk sesi bergambar, Liew tidak kelihatan.
Bilangan kerusi yang ditandingi oleh PKR kali ini hanya kurang satu kerusi daripada yang ditandingi parti itu pada PRU 2018.
Dalam perkembangan berkaitan, DAP dan Amanah dikatakan tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerusi yang diberikan untuk PRN Sabah.
Sementara itu, Presiden Upko Madius Tangau enggan mengulas adakah dia berpuas hati dengan agihan kerusi tersebut. Madius kekal di majlis tersebut sehingga ia berakhir.
Partinya diberikan 12 kerusi, iaitu lebih tujuh kerusi berbanding PRU lalu.
DAP dan Amanah akan bertanding di bawah logo Warisan sementara PKR dan Upko akan menggunakan logo masing-masing.
DAP akan bertanding di tujuh kerusi, jumlah yang sama seperti yang mereka tandingi pada PRU lalu, sementara Amanah diberi satu kerusi.
Warisan akan bertanding sebanyak 54 kerusi.
Perkembangan terbaru ini mungkin mencetuskan pergeseran di antara PKR dan Warisan. PKR boleh memilih untuk bertanding di lebih banyak kerusi daripada 14 yang dituntutnya manakala Warisan juga boleh bertanding di kerusi sekutunya.
Barisan pemimpin tertinggi PKR dan Warisan hanya mempunyai dua hari sebelum hari penamaan calon pada Sabtu untuk mengurangkan pergeseran
You must be logged in to post a comment.