Warisan perlukan Amanah untuk tawan Sabah semula
SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) akan turun ke Sabah bagi membantu parti Warisan dan parti gabungan Pakatan Harapan (PH) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, Amanah dengan persetujuan Presidennya, Mohamad Sabu melantik Timbalan Presiden Amanah, Salehuddin Ayub sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas PRN Sabah.
“Penamaan calon ditetapkan pada 12 September ini seperti diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).“Oleh itu, kami akan berusaha Warisan dan parti PH yang bertanding akan mendapat kejayaan cemerlang dalam PRN ini,” katanya seperti dilaporkan portal berita, MalaysiaGezette.
Dalam perkembangan lain beliau berkata, Jawatankuasa Nasional Amanah telah meluluskan permohonan seramai 2,298 ahli baharu sepanjang Ogos lalu.
“Jumlah ini yang tertinggi bagi tempoh sebulan. Ia adalah tambahan kepada permohonan ulama dan ilmuan terkenal, Profesor Dr Mohamad Kamil Abdul Majid dan rakan yang memohon menyertai Amanah pada 5 September lalu,” katanya.