Kilang haram terus beroperasi kerana ‘dasar’ kerajaan negeri

Aktiviti perniagaan kilang tanpa kebenaran berterusan sehingga hari ini adalah kerana dasar yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Hal ini disebabkan sejak 2012 kerajaan negeri Selangor mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan untuk memberi peluang kepada pemilik kilang haram beroperasi namun pada masa sama mengarahkan mereka memohon lesen.

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohamad Zin Masoad, berkata dasar yang ditetapkan oleh kerajaan negeri adalah memberi peluang kepada pengusaha kilang tanpa lesen ini untuk beroperasi bagi memastikan kelangsungan ekonomi.

“Tempoh dasar 2012 itu kemudian dilanjutkan pada Ogos tahun lalu sehingga 31 Disember tahun ini di mana kita (MPS) akan memberi peluang kepada mereka memohon lesen perniagaan sah.

“Bagaimanapun mana-mana pengusaha kilang lain yang tiada dalam data atau baru didirikan selepas September tahun lalu akan diambil tindakan termasuk dirobohkan,” katanya selepas meninjau operasi kilang tanpa lesen di Rawang hari ini.

Beliau berkata, dalam hal ini tidak timbul sebarang isu kononnya pihak MPS tidak mengambil tindakan atau berkompromi dengan mana-mana pengusaha kilang tanpa lesen.

“Langkah yang kami MPS lakukan adalah ingin membantu mereka mendapatkan lesen perniagaan secara sah dan bukan terlalu ingin mengambil tindakan namun apabila berlakunya kesalahan atau kes serius maka kami tidak akan berdiam diri.

“Jadi selepas ini mana-mana kilang yang tiada lesen kita akan arahkan tutup dan hentikan operasi manakala yang melakukan pencemaran akan dirujuk MPS,” katanya. BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker