DAP jangan usik hak Melayu!

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI), Ustaz Roslan Md Esa memberi amaran tegas kepada DAP, supaya tidak bersikap biadap dan mengusik sembarangan hak orang Melayu di negara ini.

“Jangan cabar hak dan kedaulatan tanah air ini, jangan cabar kami! Kerana orang Melayu pantang dicabar,” ucap beliau dalam nada tegas.

Beliau berucap demikian dalam Himpunan Anti Pencerobohan Tanah Haram dan Penentang Tulisan Jawi di perkarangan Rest House Raub, Pahang anjuran Gabungan Pertubuhan Melayu Islam Raub yang diadakan hari ini.

Isu pencerobohan tanah haram di Raub oleh pengusaha durian Musang King mula mendapat liputan media tempatan susulan pada 28 Ogos lalu seramai 111 pengusaha kebun berjaya mendapat Perintah Pergantungan Sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan.

Perintah berkenaan dimohon selepas pada 1 Ogos lalu kerajaan Negeri Pahang mula bertindak tegas untuk menangani kegiatan aktiviti pertanian secara haram dengan mengeluarkan notis pengosongan tanah kebun dan pajakan kepada penceroboh.

Pencerobohan yang dilakukan sejak sepuluh tahun lalu menyebabkan kerajaan negeri kerugian hampir RM30 juta daripada cukai hasil melibatkan tanah seluas 4,400 hektar membabitkan Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Oleh itu, Ustaz Roslan menyatakan sokongan penuh terhadap kebijaksanaan dan tindakan kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang membanteras pencerobohan tanah secara haram di Raub.

Sehubungan itu katanya, himpunan itu diadakan bertujuan menunjukkan solidariti rakyat bersama dengan kepimpinan kerajaan.

Ia sebagai menyokong agar tindakan tegas terus dilaksanakan mengikut lunas undang-undang seperti yang termaktub dalam Akta Kanun Tanah Negara bagi pihak yang terlibat.

Mengulas lanjut katanya, GENERASI akan terus memberi kerjasama dan bertindak bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) UMMAH berkenaan isu tulisan Jawi.

Ujarnya, ada pihak tidak bertanggungjawab seolah mempertikaikan Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ingin memperkasakan tulisan Jawi.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pahang, Chow Yu Hui memfailkan permohonan kebenaran di mahkamah untuk mencabar perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri itu yang mewajibkan tulisan Jawi untuk digunakan di papan tanda iklan. – HARAKAHDAILY 3/9/2020

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker