Bekas MB Johor, Osman Sapian Dipecat!
Keahlian bekas menteri besar Johor Osman Sapian lucut serta merta secara automatik susulan tindakannya yang didakwa membantu kempen calon Bebas pada pilihan raya kecil DUN Slim baru-baru ini.
Justeru, kata pengerusi lembaga displin, Megat Najmuddin, Adun Kempas itu tidak perlu didakwa di depan lembaga disiplin parti atas tindakannya.
“Mengikut Perlembagaan Bersatu, Fasal 10.2.3, Datuk Osman telah secara automatik / serta-merta terlucut keahlian beliau dalam parti Bersatu.
“Tak perlu di dakwa depan lembaga disiplin. Setiausaha agung (Bersatu) boleh memberitahu kepada umum bahawa Datuk Osman tidak lagi merupakan ahli Bersatu kerana tingkah laku beliau sendiri,”
Dia berkata demikian apabila ditanya mengenai adakah Osman sudah dipanggil oleh pihak lembaga disiplin dan tindakan yang diambil susulan tindakan Osman yang didakwa membantu calon Bebas di PRK Slim baru-baru ini.
Baru-baru ini, tular video yang menunjukkan Osman yang dipercayai sedang berucap berkempen menyokong calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika di PRK Slim.
Bagaimanapun, Osman mendakwa kehadirannya di Slim, Perak sekadar untuk bertemu rakan lama sambil makan angin dan menegaskan tindakan beliau itu tiada kaitan dengan politik.
Osman bagaimanapun, enggan mengulas mengenai kenyataan Megat Najmuddin itu ketika dihubungi.
“Saya tak nak komen,” jawabnya ringkas.
Semalam, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata Bersatu menyerahkan sepenuhnya kepada lembaga disiplin parti itu untuk menentukan tindakan terhadap Osman berhubung tindakannya itu.
Ahmad Faizal berkata jawatankuasa lembaga disiplin sebelum itu perlu menyiasat dan memanggil Osman untuk memberi keterangan.
DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan agihan sebelum ini adalah Umno dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), PAS (satu), Amanah (9) dan PKR (empat).
Ia menjadikan kerajaan PN mempunyai 29 kerusi berbanding PH 27 kerusi, manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi.
Namun jika Osman bertindak menyertai Pejuang, iaitu parti serpihan Bersatu dan bersama Pakatan Harapan, maka sidang DUN Johor negeri itu akan tergantung.
Ini akan menyaksikan jumlah kerusi diperoleh PH dengan PN masing-masing terikat kepada 28 kerusi.
Pada 3 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran untuk membubarkan dewan undangan negeri – bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan – jika perebutan kuasa berlaku.
Pengerusi Perhubungan Umno Johor, Hasni Mohammad dilantik sebagai menteri besar baru bulan Februari setelah presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang juga Adun Gambir, membawa partinya keluar dari PH.
Beliau menggantikan Dr Sahruddin Jamal dari Bersatu yang dilantik sebagai menteri besar ke-17 pada 14 April, 2019.
Ini adalah pelantikan menteri besar Johor yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018.