Jenazah pegawai APMM, anak sulung selamat dikebumikan

Para pegawai APMM memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Md Firdaus dan anak sulungnya selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Felda Sening, Kota Tinggi, tengah malam tadi.

KOTA TINGGI – Jenazah pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Leftenan Maritim Md Firdaus Omar, 35, dan anak sulungnya, Muhammad Lutfil Al-Hadi Md Firdaus, 8, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Felda Sening, di sini malam tadi.

Jenazah dua beranak itu dikebumikan pada jam 12.30 tengah malam dan suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan tersebut yang dihadiri oleh ahli keluarga, saudara-mara serta pemimpin-pemimpin tertinggi APMM.

Pihak APMM memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dengan melaksanakan Istiadat Pengebumian dan Kawalan Jenazah yang diketuai Leftenan Komander Maritim Mohd Ardi Mat Nawi bersama-sama 32 pegawai APMM Johor.

Turut mengiringi jenazah adalah sahabat-sahabat Allahyarham dari Ibu Pejabat APMM Putrajaya, APMM Johor, APMM Terengganu, APMM Pahang, APMM Selangor dan APMM Negeri Sembilan/ Melaka serta Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) Kuantan, Pahang.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria diiringi Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli menyerahkan ensign Maritim Malaysia kepada abang Allahyarham, Junaidi Omar.

Penyerahan ensign itu sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham atas jasa bakti serta sumbangan beliau kepada APMM dan negara.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Siti Hawa Mohd Sebari, 30, dan dua orang anak, Nur Athiyaah Rafhanali, 6, dan Nur Alfiyyah Rasyadah, 2.

Dua beranak itu terbunuh selepas terlibat kemalangan membabitkan dua kenderaan di simpang tiga Jalan Gong Badak berhampiran Taman Perumahan Mega, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, kira-kira jam 7 malam, kelmarin.

Allahyarham yang menunggang motosikal jenis Honda Vario bersama anaknya itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam APMM Johor, Leftenan Madya Maritim Syahrul Hisham Azli Putera berkata, pihak APMM kehilangan seorang pegawai yang berdedikasi dalam menjalankan tugas.

“Marilah sama-sama kita berdoa agar roh Allahyarham serta anaknya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh,” katanya sewaktu ditemui di tanah perkuburan tersebut.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker