545 ahli Amanah Kota Raja keluar parti sertai PPBM
545 ahli Amanah Kota Raja hari ini mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta dan menyertai PPBM kerana tertarik dengan kepimpinan presiden parti itu yang juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Borang keahlian itu diserahkan wakil kumpulan berkenaan yang juga bekas naib pengerusi 3 Amanah Kota Raja, Jaafar Samsuddin kepada pengerusi Badan Pimpinan PPBM Selangor Abdul Rashid Asari.
Menurut Jaafar, antara faktor membuatkan mereka tertarik menyertai PPBM adalah sifat kesederhanaan dan kepimpinan ditonjolkan Muhyiddin, selain keupayaannya menjaga kebajikan rakyat tatkala penularan pandemik Covid-19 ketika ini.
“Kita lihat, (kepimpinan) Amanah tidak memainkan peranan penting dalam membela rakyat, aspek penjagaan kawasan dan keprihatinan kepada ahli.
“Ahli parti rasa tidak terbela walaupun sekian lama bekerja untuk parti.
“Disebabkan itu kami memilih untuk bersama PPBM dan Perikatan Nasional yang wadah perjuangannya untuk membangun serta membela rakyat.
“Sebagai anak jati Kota Raja, diharapkan parti ini dapat membawa perubahan di kawasan kami,” katanya yang juga bekas ahli Jawatankuasa Amanah Selangor, pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Rashid menafikan dakwaan kira-kira 3,000 ahli PPBM Selangor keluar parti kerana pihaknya hanya mengesan 122 ahli sahaja yang meninggalkan parti berkenaan setakat ini.
Katanya, jumlah ahli yang keluar parti itu turut melibatkan 3 ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (Adun) PPBM bagi kawasan Kuang, Jeram dan Batang Kali untuk menyertai Pejuang yang diasaskan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, jumlah ahli PPBM di Selangor setakat ini sudah melebihi 50,000 orang dengan 5,000 terdiri daripada kalangan bukan Melayu. Bernama
You must be logged in to post a comment.