Covid-19 : 11 kes baharu hari ini

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat sembilan (9) kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,092 kes (96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 4 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 11 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,385 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 165 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 11 kes baharu yang dilaporkan, tujuh (7) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua (2) warganegara Malaysia dan lima (5) bukan warganegara. Tujuh (7) kes import tersebut adalah dari negara:

India (5 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur);
Arab Saudi (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan
United Kingdom (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).
Daripada empat (4) kes penularan di dalam negara, tiga (3) kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan satu (1) kes adalah bukan warganegara iaitu kes daripada Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semenyih 2 di Selangor.

Perincian baki kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia (3 kes) adalah:

Kedah: Satu (1) kes daripada Kluster Telaga;
Selangor: Satu (1) kes daripada Kluster DTI Semenyih 2; dan
Negeri Sembilan: Satu (1) kes daripada Kluster DTI Semenyih 2.
Kluster-kluster ini akan diperincikan di bawah.

Sehingga kini, terdapat empat (4) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga (3) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes (1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

KLUSTER DEPOT TAHANAN IMIGRESEN SEMENYIH 2

KKM ingin memaklumkan bahawa satu (1) kluster baharu telah dikenalpasti di DTI Semenyih, Selangor. Kes indeks kluster ini merupakan seorang tahanan yang bakal dihantar balik ke negara asal beliau. Justeru, beliau telah disaring untuk COVID-19 di Klinik Kesihatan dan dikesan positif pada 27 Ogos 2020 (iaitu kes ke-9302).

Kes kedua dan ketiga kluster (iaitu kes ke-9382 dan kes ke-9384) merupakan pegawai imigresen di DTI tersebut yang telah mengiringi kes indeks ke Klinik Kesihatan bagi saringan COVID-19. Mereka adalah dua (2) daripada empat (4) orang pegawai imigresen yang mengiringi kes indeks yang telah dikesan positif COVID-19. Susulan itu, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 4 September 2020, seramai 269 orang telah disaring. Daripada jumlah ini:

Selangor (265 disaring):
Dua (2) kes dikesan positif COVID-19;
123 individu negatif; dan
140 individu masih menunggu keputusan.
Negeri Sembilan (4 disaring):
Satu (1) kes dikesan positif COVID-19; dan
Tiga (3) individu masih menunggu keputusan.
Jumlah saringan yang telah dilaksanakan bagi kluster ini melibatkan:

134 tahanan;
129 orang kakitangan DTI; dan
Enam (6)orang ahli keluarga kakitangan.
Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di DTI Semenyih.

KKM menyeru anggota-anggota barisan hadapan dari pelbagai agensi yang menguruskan kes positif COVID-19, kes yang disyaki positif COVID-19 serta kes masih di dalam siasatan termasuk Patient Under Investigation (PUI) supaya mengambil langkah-langkah pencegahan pada setiap masa sepanjang pengurusan kes-kes ini. Ini termasuk pemakaian Personal Protective Equipment (PPE) dengan betul serta bersesuaian, penjarakan fizikal (physical distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dan amalan kebersihan tangan yang optimum.

KKM menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada anggota barisan hadapan dari pelbagai agensi yang merupakan aset Negara dalam mengharungi pandemik ini. Wabak ini telah menyerlahkan peranan penting mereka dalam mencegah, mengawal dan menguruskan penularan jangkitan COVID-19. Tanpa komitmen, ketekunan dan dedikasi anggota barisan hadapan, hampir mustahil bagi kita untuk menangani pandemik COVID-19.

STATUS TERKINI KLUSTER TELAGA

Terdapat satu (1) kes baharu dilaporkan bagi Kluster Telaga di negeri Kedah, justeru menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini sebanyak lapan (8) kes. Sehingga 4 September 2020 jam 12 tengah hari, seramai 2,743 orang telah disaring dalam kluster ini. Pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit adalah seperti berikut:

Kedah (2,737 disaring):
Lapan (8) kes dikesan positif COVID-19;
2,075 individu negatif; dan
654 individu masih menunggu keputusan.
Pulau Pinang (6 disaring, tiada saringan baharu):
Enam (6) individu negatif.
Pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat bagi kluster ini masih diteruskan. Situasi terkini kluster akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:

Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
Amalkan 3W : iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
Elakkan bersalaman / bersentuhan termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan cara kebiasaan bersalam;
Amalkan etika batuk dan bersin;
Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.
Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:

S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
O : Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
P : Penjarakan fizikal (physical distancing) sekurang-kurangnya 1 meter diamalkan pada setiap masa.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker