70 peratus ahli Bersatu sudah keluar parti – Mukhriz
Datuk Seri Mukhriz Mahathir menganggarkan kira-kira 70 peratus ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini beralih arah untuk tidak lagi menyertai parti itu.
Katanya, beliau melihat perkara itu berdasarkan Mesyuarat Agung Tahunan parti Bersatu pada November tahun lepas apabila ramai yang tidak bersetuju dengan usul mahu melantik bukan Melayu ke jawatan-jawatan khas seperti ekonomi, pendidikan dan lain-lain.
Beliau berkata, ketidakpuashatian mereka itu digambarkan apabila ada perwakilan yang hadir menjerit-jerit kerana tidak bersetuju dengan perkara yang tidak sewajarnya berlaku dalam Bersatu.
“Cuba bayangkan apa akan berlaku kalau Presiden Bersatu yang sekarang ini nyatakan dia nak buka keahliannya kepada bukan Melayu,” katanya ketika ditemui di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Mukhriz mendakwa, banyak lagi perkara yang dicadangkan dalam mesyuarat tahunan tersebut ditentang oleh ahli-ahli Bersatu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kebarangkalian permohonan parti Pejuang akan ditolak oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS), beliau berkata, perkara itu berkemungkinan boleh berlaku.
Ujar beliau, pihaknya telah mendapat maklum daripada RoS sekiranya permohonan tersebut tidak mempunyai masalah ia mudah untuk dilulusakan.
‘Tapi biasalah, menteri ada macam-macam untuk proses kelulusan,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sekiranya perkara itu berlaku ia jelas menunjukkan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini takut dan tidak berani. – MalaysiaGazette