Umno pula serah nama ‘cabar’ Rais di Dewan Negara?
Umno didakwa turut menamakan calon sendiri untuk mengisi kekosongan jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara walaupun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah mencadangkan Dr Rais Yatim.
Hal itu menarik perhatian kerana ia membayangkan Umno sendiri tidak menerima pencalonan Rais walaupun pemimpin Bersatu Negeri Sembilan itu asalnya dari parti mereka.
Menurut sumber, asalnya Muhyiddin menamakan Rais pada pertengahan Ogos lalu.
Bagaimanapun katanya, belajar daripada insiden penukaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat baru-baru ini, pembangkang juga mengemukakan calon sendiri.
Justeru dua nama ditampilkan masing-masing Senator Yusmadi Yusoff dan Senator Theodore Douglas Lind.
Yusmadi dicadangkan oleh anggota Dewan Negara dari Negeri Sembilan, Ahmad Azam Hamzah, manakala nama Lind – yang merupakan wakil Warisan dari Sabah – dikemukakan Senator Marzuki Yahya.
Sumber mendakwa Umno tampil mengemukakan nama keempat pada saat-saat akhir iaitu dua hari sebelum Dewan Negara bersidang pada 2 Sept.
“Pada 31 Ogos seorang senator Umno mencadangkan nama Mohamad Ali Mohamad untuk dipilih menggantikan SA Vigneswaran,” katanya kepada Malaysiakini.
Kata sumber itu, pada asalnya tidak nampak ada masalah untuk semua parti kerajaan menerima Rais sebagai calon bersama, namun perjalanan politik bekas timbalan presiden Parti Semangat 46 itu akhirnya tidak disenangi.
“Rais sudah menjadi ‘musuh bersama’ buat banyak parti, sama ada pembangkang atau Umno,” katanya.
Untuk rekod, selepas Semangat 46 dibubarkan, Rais bersama pemimpin lain parti itu menyertai Umno. Bagaimanapun dia kemudian menukar partinya sekali lagi dengan menyertai Bersatu.
Bekas presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah, bagaimanapun kekal bersama Umno ketika ini dan dilantik sebagai pengerusi jemaah penasihat parti berkenaan.
Sementara itu Muhamad Ali yang dihubungi Malaysiakini mengesahkan dia tahu namanya mahu dicalonkan untuk mengisi kekosongan yang ada di Dewan Negara.
“Tetapi saya tak pasti sama ada nama saya benar-benar diserahkan secara rasmi ke Dewan Negara untuk dipertimbangkan atau tidak,” katanya. Mkini
You must be logged in to post a comment.