BN sapu bersih semua PDM – Tok Mat Hasan
Barisan Nasional (BN) berjaya menyapu bersih ke semua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini menyaksikan BN kembali menebus kehampaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas tewas di enam PDM.
Ketika itu, BN kalah kerana bertembung pertandingan tiga penjuru menentang Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pada PRU14, allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, mempertahankan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.
Khusairi mendapat, 8,327 undi, calon Bersatu, Mohd. Amran (6,144 undi), dan Muhammad Zulfadli mendapat 4,103 undi.
Namun BN tewas di PDM seperti Kampung Kuala Slim, Pekan Slim, Sungai Slim Utara, Pekan Lama, Ladang Kelapa Bali dan Ladang Sungkai.
Bagaimanpun menerusi kerjasama sekarang dalam Muafakat Nasional, hanya BN yang bertanding berdepan dua calon bebas.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kemenangan itu enam PDM itu membuktikan sokongan kuat pengundi kepada BN, MN dan Kerajaan Perikatan Nasional.
Jelas beliau, ia juga menggambarkan keresahan rakyat yang masih merasai keperitan di zaman Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.
“Saya juga boleh simpulkan juga bahawa penolakan pengundi ke atas Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) walaupun tidak meletak calon. ramai pemimpin PH yang turun kepada calon bebas,” katanya kepada media selepas pengumuman PRK DUN Slim di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini malam ini.
BN berjaya mempertahankan kerusi itu menerusi kemenangan besar calonnya, Mohd. Zaidi Aziz selepas menang selesa dengan majoriti 10,945 undi apabila memperoleh 13,060 undi manakala dua pencabarnya dari bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dan S. Santharasekaran, 44, yang turut hilang wang deposit.
Mengulas lanjut, Mohamad turut berharap pola pengundi akan berterusan pada Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan ini kerana akan beri impak kepada PRU pada akan datang.
Sementara itu, PRK DUN Slim akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mohd Zaidi Aziz, 43; dan dua calon bebas iaitu S. Santhasekaran, 44; dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38; mewakili Parti Pejuang Tanah Air yang dalam proses didaftarkan.
Sebanyak 23,094 pengundi layak mengundi pada PRK Slim ini.
Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Mohd Khusairi yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai. – MalaysiaGazette
You must be logged in to post a comment.