Rundingan kerusi untuk PRN Sabah sukar, kata Bung Moktar

Share

Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata rundingan pengagihan kerusi dengan parti pembangkang di negeri itu terbukti sukar menjelang Pilihan Raya Negeri bulan depan.

Bagaimanapun, katanya, pemimpin parti itu berazam menyelesaikannya dan berharap dapat memuktamadkan rundingan dalam 2 hari lagi supaya mereka mempunyai peluang baik pada PRN Sabah.

“Rundingan masih berjalan, ia sangat sukar,” katanya sebelum perjumpaan pemimpin pembangkang negeri dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di sini hari ini.


“Akhirnya, kita perlu mencari satu penyelesaian, itu saja. Adakah terdapat pilihan lain? Untuk menang kita perlu bekerjasama.

“Semua orang merasakan diri kuat. Setiap parti dan pembangkang fikir mereka boleh memenangi kawasan itu, semua orang dakwa mereka boleh menang. Itu petanda baik, tetapi sekarang sukar untuk menentukan siapa yang akan bertanding kerusi mana.”

Bung, pengarah jentera pilihan raya Barisan Nasional Sabah, berkata BN akan menggunakan lambang dacing untuk PRN walaupun ada yang berkata Perikatan Nasional dan Parti Bersatu Sabah akan menggunakan lambang sendiri pada 26 Sept nanti.


“Tiada masalah, selagi kita tidak bertanding menentang satu sama lain,” katanya ketika ditanya jika beliau mempunyai sebarang masalah dengan parti pembangkang tidak menggunakan lambang sama.

“Ia adalah okey.”

Mengenai calon ketua menteri, Bung berkata, mereka sedang menumpukan perhatian untuk memenangi PRN.


Umno Sabah bersama MCA dan PBRS berada dalam BN, manakala PN terdiri daripada PPBM Sabah, STAR serta SAPP, dengan PBS dan PAS ialah sekutu PN di negeri itu. FMT

Leave a Reply