Pembantu Zuraida: Projek runding terus diurus bawah kementerian Guan Eng

Setiausaha politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menegaskan bahawa menteri berkenaan tidak terlibat dalam pemberian tender runding terus di bawah kementeriannya semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH)

Sebaliknya, Nor Hizwan Ahmad berkata, projek tersebut diuruskan oleh Kementerian Kewangan di bawah menterinya ketika itu, Lim Guan Eng.

“Sedangkan fakta yang tepat dan nyata adalah YB Puan Hajah Zuraida langsung tidak terlibat sama sekali sama ada dalam hal rundingan , hal memberi kelulusan mahupun sebarang perbincangan berkenaan projek tersebut.

“Tiada satu pun yang melibatkan YB Puan Hajah Zuraida. Ia diuruskan terus oleh Kementerian Kewangan yang ketika itu menterinya ialah Lim Guan Eng sendiri.

“Saya amat yakin dan pasti bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ada menyimpan semua dokumen yang berkenaan dan mempunyai kronologi tentang bagaimana projek ini akhirnya mendapat kelulusan Kementerian Kewangan untuk diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Zuraida berkata dua projek runding terus di bawah kementeriannya semasa pentadbiran kerajaan PH dibuat di luar pengetahuannya dan berjanji akan melakukan siasatan.

Kenyataan itu hadir selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam mendedahkan 101 kontrak kerajaan bernilai RM6.61 bilion yang didakwanya diberikan melalui rundingan terus di bawah PH.

Dua daripada projek tersebut melibatkan kementerian Zuraida membabitkan jumlah RM170.79 juta.

Salah satunya adalah projek penyelenggaraan sistem kewangan dan perakaunan kementerian bernilai RM501,206.

Manakala satu lagi kontrak bernilai RM170.3 juta untuk pembinaan stesen pelupusan sisa pepejal di Taman Beringin, Jinjang Utara, Kuala Lumpur.

Lim, yang mengadakan sidang media pagi ini menafikan dakwaan Zafrul dan menyifatkannya sebagai penipuan besar.

Menurut Lim projek rundingan terus di bawah PH bukannya 1.4 peratus atau RM6.61 bilion daripada keseluruhan perolehan kerajaan tetapi hanya 0.07 peratus atau RM352 juta.

Lim juga berkata adalah lebih baik bagi Zuraida untuk menjelaskan apa yang berlaku.

Sementara itu, Hizwan membidas ahli politik Pakatan Harapan kerana melakukan serangan terhadap Zuraida dalam isu tersebut, terutama Anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Saifuddin Nasution Ismail.

“Kerakusan pembangkang menyerang pemimpin kerajaan seperti ini hanyalah seakan mahu menutup bangkai gajah dengan daun pisang. Rakyat semakin meninggalkan pembangkang, demi menutup aib mereka yang kian terdedah YB Zuraida cuba dijadikan sasaran serangan murahan.

“Saya pasti ia akan gagal kerana kita berpegang dengan kebenaran dan fakta!

“Saya juga tidak hairan dengan mentaliti kuno pembangkang yang sentiasa menyerang kerajaan kerana mereka benar-benar telah kehabisan modal politik.

“Yang pastinya, kerajaan Perikatan Nasional kini diyakini sebagai sebuah pentadbiran yang telus, berintegriti dan terbuka,” katanya. Mkini

Related Articles

One Comment

  1. Nak tanya, masa tu Puan Hajah Zuraida kat mana..tidur ke ? Projek direct nego ratus2 juta diberi kpd kementrian Puan takkan tak tahu ? Entahlah barat…

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker