Yamaha 125zr edisi Valentino Rossi berharga RM85,000

TIDAK masuk akal namun itulah realiti apabila seorang jurutera dari Flat Sri Melaka, Cheras, Kuala Lumpur menjual motosikal Yamaha 125zr Go! dengan harga RM85,000 kepada seorang peminat model berkenaan dari Vietnam.

Yamaha 125zr Go! edisi pelumba MotoGP, Valentino Rossi yang dikeluarkan khas pada 2003 itu dijual tunai kepada lelaki dikenali sebagai Chuong, sebelum tular di media sosial.

Mohamad Azehar Mat Siam, 29, berkata, dia terkejut apabila ada peminat Yamaha 125zr yang sanggup membayar harga tinggi untuk memiliki koleksi motosikalnya.

“Saya sengaja meletakkan harga RM85,000 supaya Chuong tidak membelinya, namun tidak sangka dia terus memasukkan wang pendahuluan ke dalam akaun bank saya sebanyak RM30,000 petang semalam.



“Pagi tadi, dia datang ke rumah untuk melihat motosikal itu dan terus bersetuju membelinya, serta membayar baki keseluruhan sebanyak RM55,000.

“Malah, Chuong turut membeli beberapa alat ganti motosikal Yamaha 125zr Go! original yang saya simpan seperti tayar dan ‘cover set’ keluaran khas model itu dengan harga RM5,000,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, motosikal itu dibeli arwah ayahnya, Mat Siam Ismail pada 2003 kerana dia terlalu meminati pelumba motosikal berkuasa tinggi dari Itali itu.

“Semua alat ganti keluaran khas Yamaha 125zr Go! edisi Valentino Rossi juga saya simpan sebagai koleksi peribadi.



“Motosikal itu dibeli dengan harga RM6,617.76 dan saya tidak pernah menunggangnya, malah tidak didaftarkan.

“Sayang nak guna motosikal itu, jadi selama 17 tahun ini, motosikal itu hanya disimpan di dalam rumah,” katanya yang mengakui koleksi itu sukar diperoleh sekarang.

Justeru, katanya, tidak hairanlah peminatnya sanggup membeli dengan harga tidak masuk akal.

“Saya minat motosikal dan gemar membeli serta mengumpulnya sejak daripada zaman sekolah.



“Sekarang saya mempunyai sembilan motosikal iaitu dua motosikal Yamaha RX-Z, tiga Yamaha 125zr, tiga Honda EX5 dan sebuah Honda C70,” katanya yang akan menyimpan dan melaburkan wang hasil jualan motosikal berkenaan. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker