Bekas Ketua MAFIA antarabangsa kini sertai PPIM [Video]
Vince Focarelli sebelum ini menarik perhatian media sebagai bekas ketua gangster yang memeluk Islam.
Menggunakan nama Imran Salaam, dia berhijrah ke Malaysia pada awal 2017 untuk mengelak risiko diusir ke negara asalnya, Itali oleh kerajaan Australia.
Sejak itu, dia menjadi penceramah bagi menceritakan kisah hidup penuh warna-warninya sebelum diperkenalkan kepada Islam.
Kini, dia dilaporkan telah menyertai Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), satu lagi langkahnya sebagai seorang mualaf.
Menerusi video yang dimuat naik laman Youtube TV.PPIM semalam, dia memberitahu ‘perkenalannya’ dengan PPIM sejak dia tiba di Malaysia lagi, menerusi ketua aktivisnya Nadzim Johan.
“Dia tahu apa yang dibangkitkannya, bukan sekadar cakap kosong tapi betul-betul maksudkannya. Dia lakukannya untuk masyarakat…Bukan sahaja untuk umat Islam tapi seluruh masyarakat.
“Ini adalah organisasi yang luar biasa…Melindungi orang daripada gangster, jenayah dan kesusahan. Organisasi ini tak akan tinggalkan anda, dan saya rasa sangat dihargai dapat menyertai mereka,” katanya.
Perkenalan dengan Islam
Menurut Focarelli, dia mula mengenal Islam ketika masih mengetuai Comanchero – sebuah kumpulan gangster di Australia – apabila ada anggota kumpulannya yang beragama Islam berbicara tentang Nabi Muhammad.
Apa yang menarik minatnya terhadap agama itu adalah apabila mengetahui Jesus turut dimuliakan dalam Islam.
“Makin lama berbincang, saya semakin ingin tahu. Saya jadi seperti budak kecil yang menonton televisyen, tidak beralih langsung (daripada perbincangan).
“Saya sangat kagum dan mula yakin Islam adalah agama yang sebenarnya,” katanya.
Bagaimanapun dia masih terlibat dalam kegiatan jenayah sebelum tragedi pada 2012 mengubah hidupnya. Dalam satu percubaan membunuhnya di Adelaide di Australia, anak tirinya telah terkorban kerana melindunginya.
“Giovanni (anak tirinya) ditembak dan saya tarik dia masuk ke kereta. Ketika itu, saya ditembak empat kali. Saya pandu kereta selaju yang boleh.
“Darah keluar dari mulutnya. Apabila saya nampak mulutnya mula berbuih, saya ucapkan syahadah dan minta Allah menerima syahadah itu bagi pihaknya. Sebab dia tak boleh sebut, dan dia tak sebut.
“Saya kemudian dicampak ke penjara. Perkara paling sukar adalah hanya mampu melihat jenazah anak saya di televisyen. Segalanya kaku.
“Saya melihat pengkebumian dari dalam penjara, tak mampu sertainya,” katanya sambil menyifatkan anak tirinya itu sebagai seorang yang sangat menghormati ibunya.
Selepas keluar penjara
Mendalami Islam ketika menjalani hukuman, Focarelli bebas pada April 2013 dan kemudian meninggalkan segala kegiatan lamanya.
Menurut laman mStar pada 2017, dia membuka sebuah restoran halal di Australia sebelum datang ke Malaysia, apabila kerajaan negara itu mengeluarkan perintah usir kepadanya.
Selain kegiatan ceramah dan berkaitan agama, Focarelli berkata dia juga bekerja sebagai jurulatih peribadi pertahanan diri. Namun baginya kerja yang paling utama adalah sebagai penjaga ibunya yang turut menyertainya ke Malaysia.
“Dia tak boleh berjalan kerana mengidap kanser tahap empat. Tolong doakan dia,” katanya lagi.