Kalau saya sebelah Tun M pun kerja saya kelirukan rakyat – Faizal Azumu

Share

Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa cuba mengelirukan rakyat apabila mengatakan UMNO akan membolot kesemua kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, apa yang diperkatakan oleh Mahathir itu tidak benar dan ia hanya sesuatu yang dibangkit untuk mengelirukan rakyat.

“Kalau saya berada di sebelah Tun Mahathir pun kerja saya mengkonfiuskan (mengelirukan) rakyat. Itu memang kerja masing-masing.


“Nak lagi dalam pilihan raya kecil ini yang tinggal beberapa jam ini. Jadi, memang nak bagi rakyat rasa konfius sikit…saya pun tak nak sama mengkonfiuskan rakyat,” katanya yang juga Menteri Besar Perak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pembelian Rumah Perakku I, Ulu Bernam Timur dan Rumah Perakku I, Mukim Slim (Trolak) Daerah Muallim hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila mencadangkan supaya kerajaan mengembalikan hak memilih kerajaan menerusi PRU dengan alasan untuk menghentikan pelbagai tuduhan terus dilemparkan oleh pihak tertentu ketika ini.


Ahmad Zahid dalam ceramahnya sempena kempen PRK DUN Slim malam semalam berkata, beliau menjangkakan PRU-15 akan berlaku dalam waktu terdekat.

Katanya, semangat Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional akan terserlah apabila kuasa rakyat diperoleh dengan tidak bersifat riak atau takabur untuk memberkan mandat baru kepada kerajaan untuk meneruskan pemerintahannya.

Mengulas mengenai perkara itu, Ahmad Faizal berkata, hubungan antara ketiga-tiga parti dalam gabungan di dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas, UMNO dan Bersatu adalah sangat baik pada ketika ini.


Bagaimanapun, hubungan baik antara ketiga-tiga parti tersebut cuba diberikan persepsi yang pelbagai oleh pihak-pihak terentu.

“Tetapi apa yang sebenarnya, hubungan antara pimpinan ketiga-tiga parti ini amat baik dan saya tidak nampak apa yang diperkatakan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid itu telah mengeruhkan suasana ataupun mengiyakan apa yang dikatakan oleh Tun M melalui blog beliau.

“Rundingan antara ketiga-tiga parti berkenaan berhubung kerusi ini berjalan dengan amat baik. Saya sendiri merupakan antara perunding yang mewakili parti saya, berunding daripada wakil-wakil UMNO dan juga Pas.

“Hubungan kami cukup baik taklah macam parti yang Tun tubuhkan ini (Pejuang) yang saya dengar sudah mula berkecamuklah, siapa nak jadi ketua bahagian dan sebagainya,” dakwa beliau. – MalaysiaGazette

Leave a Reply