Lelaki warga Thailand bunuh diri semasa jalani kuarantin

BANGKOK – Seorang lelaki Thailand yang sedang menjalani tempoh kuarantin wajib selepas kembali dari Israel ditemui mati, dipercayai membunuh diri dengan terjun keluar dari bilik hotel “Alternative State Quarantine” (ASQ) di wilayah Chon Buri.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Mejar Jeneral Kongcheep Tantrawanich berkata, lelaki berumur 39 tahun yang berasal dari wilayah Buriram di timur laut itu baru kembali ke Thailand pada hari Selasa, dan terus memasuki hotel ASQ pada hari yang sama.

“Lelaki itu meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas dia melompat keluar dari biliknya pada kira-kira jam 4.00 petang (waktu tempatan) Rabu,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu Thailand merekodkan satu kes Covid-19 melibatkan seorang lelaki dari kaum India berumur 35 tahun di pusat kuarantin alternatif negara di Bangkok dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas.



Pusat Pentadbiran Keadaan Covid-19 Thailand (CCSA) dalam satu kenyataan berkata lelaki itu tiba di Thailand pada 8 Ogos dan disahkan positif dalam ujian kedua.

“Sejak 3 April lepas, seramai 87,200 individu dalam kalangan warga asing dan tempatan, telah memasuki Thailand dan menjalani kuarantin wajib. Sejumlah 467 disahkan positif Covid-19,” menurutnya lagi.

Sehingga kini Thailand merekodkan 3,404 kes Covid-19 dengan 58 kematian.- Bernama



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker