Wang RM343,700 bawah tempat duduk skuter

DUA lelaki ditahan susulan penemuan wang tunai berjumlah RM343,700 di bawah tempat duduk skuter jenis Honda Air Blade di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang.

Mereka ditahan sepasukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) pada 7 malam semalam.

Pegawai Pemerintah PGA8 Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, anggotanya mengesan suspek selepas tinjauan di hadapan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

“Sebuah treler berwarna biru keluar dari pintu utama ICQS namun mencurigakan. Pemandu treler berusia 62 tahun itu kemudian berhenti di kawasan stesen minyak terbabit dan kurang 15 minit selepas itu, seorang lelaki menunggang skuter berhenti berhampiran treler berkenaan.

“Penunggang berusia 43 tahun dilihat berbual dengan pemandu treler sebelum dia didapati memasukkan plastik hitam di bawah tempat duduk skuter dipercayai miliknya.

“Anggota kemudian membuat serbuan dan menangkap kedua-dua lelaki itu. Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan mendapati terdapat sejumlah wang di dalam beg plastik itu yang dipercayai duit haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek dan wang dirampas diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyem 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“PGA8 menzahirkan penghargaan kepada agensi penguatkuasaan yang terbabit dalam membantu operasi Benteng Covid-19 selain masyarakat yang menyalur maklumat.

“Kami akan terus memperketatkan kawalan di sempadan khususnya pangkalan haram sepanjang Sungai Golok,” katanya. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker