Azizulhasni pilihan popular untuk Anugerah Atlet Terbaik

Share

Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang menjadi pilihan popular bagi Anugerah Atlet Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2019 yang bakal berlangsung pada 1 Sept ini di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Pelumba berusia 32 tahun yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ itu, menyerlah pada tahun lalu menerusi kejayaannya muncul juara kejohanan Trek Siri Dunia di Cambridge pada Disember lalu dengan mengejutkan bekas juara dunia, Shane Perkins dan Matthew Glaetzer.

Kejayaan demi kejayaan yang dicatat oleh anak kelahiran Dungun, Terengganu itu, melayakkannya diangkat sebagai model untuk pelumba trek remaja negara, selepas turut menguasai acara pecut dan keirin individu di Kejohanan Trek Kebangsaan.


Mohd Azizulhasni yang pernah menjulang anugerah itu pada 2009 dan 2017, bagaimanapun dijangka menghadapi saingan sengit daripada dua lagi atlet negara yang tidak kurang hebatnya dari segi pencapaian dan sumbangan pingat terhadap negara.

Mereka ialah S. Kisona yang berjaya mempertahankan gelaran kejuaraan acara badminton perseorangan wanita di Sukan SEA Filipina, serta Farah Ann Abdul Hadi yang cukup cemerlang merangkul tiga pingat emas bagi sukan gimnastik dalam acara yang berasingan di Manila.

Turut dicalonkan ialah atlet wushu yang meraih dua pingat emas di Sukan SEA 2019, Loh Choon How serta Julian Yee yang berjaya mempertahankan pingat emas acara luncur ais untuk kali kedua berturut-turut selepas melakukannya pada Sukan SEA 2017.


Presiden SAM, Jasni Shafie berkata wartawan sukan juga bakal menerima pengiktirafan sekali gus berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM50,000.

“Anugerah akan dibahagi kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

“Pemenang terbaik keseluruhan pula akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM7,000 berserta trofi,” katanya menerusi kenyataan. BERNAMA


Leave a Reply