PPBM rasmi masuk Muafakat Nasional
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa berkata Muafakat Nasional (MN) menerima PPBM dalam gabungan itu yang turut dianggotai Umno dan PAS.
Beliau berkata, MN menerima penyertaan PPBM dan ingin melihat penyatuan serta perpaduan orang Melayu bertambah mantap selaras piagam MN yang termaktub sebelum ini.
“Alhamdulillah, terbaharu usaha memantapkan MN terus mendapat suntikan tambahan apabila kita dimaklumkan oleh presiden PPBM, kesediaan PPBM untuk turut menyertai MN.
“Perkara ini sudah dibincang dengan teliti dan mendalam oleh JK Pemandu MN, yang dipengerusikan bersama oleh timbalan presiden Umno dan timbalan presiden PAS pada 6 Ogos. Susulan itu surat rasmi diutus pada 13 Ogos. Jawapan rasmi kesediaan PPBM menyertai MN diterima pada 18 Ogos ditandatangani Muhyiddin Yassin sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Annuar yang juga setiausaha agung bersama MN berkata, biro politik Umno sudah membincangkan perkembangan terbaharu ini pada 23 Ogos lalu dan turut melibatkan semua pengerusi umno dan BN negeri.
Katanya, Umno sangat prihatin dan mengambil berat usaha menyatupadukan orang Melayu dan membina kekuatan kelompok teras Melayu Islam.
“Ia adalah 1 kewajipan dan keutamaan yang menjadi asas kepada perjuangan UMNO itu sendiri, atas dasar itu Umno bersetuju supaya MN menerima penyertaan PPBM,” katanya.
Beliau berkata, Umno dan Pas secara komited membentuk gagasan MN kerana menginsafi kuasa politik orang Melayu dan umat Islam semakin lemah lantaran perpecahan yang semakin parah.
“Sejak tertubuh, kita bersyukur kerana MN semakin diterima rakyat pelbagai kaum dan diperlihatkan dengan kemenangan demi kemenangan dalam PRK (pilihan raya kecil) yang diadakan,” katanya. FMT
You must be logged in to post a comment.