Khairuddin ke Bukit Aman hari ini
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali dipanggil ke Bukit Aman hari ini berhubung siasatan pelanggaran perintah kuarantin.
Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid
Ditanya sama ada Khairuddin akan dipanggil ke Bukit Aman esok, Mior hanya menjawab “Ya”, ketika dihubungi FMT.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyerahkan nasib Khairuddin kepada pihak berkuasa dan mengatakan kerajaan memandang serius dakwaan pelanggaran perintah kuarantin oleh pemimpin PAS itu.
Muhyiddin menegaskan setiap rakyat tertakluk bawah undang-undang dan tiada siapa pun terkecuali.
Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan dilaporkan berkata Khairuddin dikompaun RM1,000 selepas didapati melakukan kesalahan bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Ahad lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah melalui Twitternya berkata, walaupun Khairuddin dikompaun RM1,000 atas kesalahan berkenaan, kes itu masih disiasat polis.
Khairuddin sepatutnya menjalani kuarantin wajib 14 hari sekembali dari Turki pada 7 Julai lalu, tetapi beliau menghadiri beberapa acara, termasuk sidang Parlimen pada 13 Julai lalu.
Beliau kemudian memohon maaf dan berjanji akan memulangkan semua gajinya sebagai menteri bagi Mei hingga bulan ini sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) bawah Kementerian Kesihatan. FMT
You must be logged in to post a comment.