Akta 342: KKM cadang naikkan kompaun ke RM10,000

Share

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mencadangkan kepada kerajaan untuk menaikkan denda bagi kesalahan kompaun di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dari kadar semasa RM1,000 kepada RM10,000.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka yang dipinda itu telah dikemukakan kepada parlimen baru-baru ini dan akan mengambil sedikit masa untuk diluluskan.

“Akta itu digubal pada 1988 dan kadar RM1,000 itu adalah munasabah pada ketika itu tetapi sekarang kita perlu menyemaknya semula… Jadi saya serahkan kepada Parlimen untuk membuat keputusan,” katanya semasa dialog khas bertajuk, “Covid-19: Perjalanan Malaysia Ke Arah Melandaikan Keluk” sempena Persidangan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2020 di Kuala Lumpur hari ini.


Pada majlis itu, Dr Noor Hisham menerima pengiktirafan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Ikon Kebangsaan bagi Kepimpinan dalam Kesihatan Awam oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik.

Walaupun Dr Noor Hisham telah menerima beberapa pengiktirafan terhadap sumbangannya memerangi pandemik Covid-19, beliau mengatakan penghargaan itu tidak harus diberikan kepadanya seorang sebaliknya kepada seluruh pasukan terutama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Satu orang tidak boleh membuat kelainan. Jika anda mahu memberi penghargaan, berikan kepada perdana menteri kerana beliau yang membuat keputusan, saya hanya menasihatkan beliau,” katanya.


Sementara itu mengulas mengenai teleperubatan, Dr Noor Hisham berkata Malaysia masih ketinggalan dari segi kesediaan untuk sistem penjagaan kesihatan digital.

“Hanya semasa krisis, kami memperkenalkan MySejahtera dan semua perisian, dan tidak sebelum pandemik. Sehubungan itu, saya berharap akan datang kita menyiapkan semua pendekatan teleperubatan atau teknologi maklumat sebelum pandemik atau jangkitan.

“Saya berharap inovasi teleperubatan harus dibuat sebelum pandemik. Saya ingin melihat pendekatan proaktif dan bukannya reaktif,” katanya.


– Bernama

Leave a Reply