Shafie jangan hipokrit sangat – Regina
Ketua Wanita PCS tempelek Shafie jangan terlalu hipokrit
KOTA KINABALU – Ketua Wanita Parti Cinta Sabah (PCS) meresa pelik apabila Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal cuba menonjolkan imejnya sebagai seorang yang berintegriti walhal hakikatnya beliau adalah seorang hipokrit.
Dr Regina Lim mendakwa, Shafie juga dianggap sebagai seorang pemimpin yang tidak mampu menghadapi kenyataan yang akhirnya bertindak mengugut untuk menyaman mana-mana pihak yang bersuara lantang terhadapnya.
Malah sifat itu sedang di tonjolkannya secara terbuka kepada rakyat Sabah, ujarnya.
Sifat hipokrit Shafie sememangnya satu fenomena biasa yang sudah ada dengannya ketika masih bersama UMNO lagi, dakwanya.
“Bayangkan apa sahaja yang tidak boleh di terima olehnya, terus mendadak keluarkan kenyataan akan saman. Apakah kamu ini layak menjadi pemimpin lagi-lagi menjadi orang nombor satu memimpin rakyat Sabah apabila langsung tidak boleh berdepan dengan kritikan? Malu sungguh.
“Amaran Shafie kononnya hendak failkan kes saman malu terhadap sesiapa yang berani kritiknya memaparkan ciri seorang yang tidak demokratik dan bercanggah dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di Sabah selama ini, sekurang-kurangnya adakah kamu faham ini?
“Rakyat rakyat perlu sedar dan akan sedar sebenarnya tidak ubah seperti ‘lidah biawak’. Sikit-sikit hendak saman, sana sini hendak saman. Jangan emosional wahai mantan Ketua Menteri, belajarlah terima kritikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Presiden PCS, Datuk Seri Panglima Anifah Aman dan Presiden Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan diugut saman oleh Shafie kerana mempersoalkan asal usulnya.
Kata Regina lagi, sebelum ini Shafie telah digesa untuk memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia bagi menuntut hak Sabah yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.
“Shafie enggan berbuat demikian kononnya beliau adalah seorang yang memberi keutamaan kepada proses rundingan daripada konfrontasi.
“Tetapi apabila beliau dikritik pula dengan cepat lagi tangkas hendak menyaman Datuk Seri Anifah Aman dan Datuk Dr Jeffrey. Adakah, beliau ini talam dua muka?
“Atau apabila soal kepentingan antara Sabah dan diri anda sendiri, anda pilih diri anda terlebih dahulu? Adakah begitu? Saya hanya tanya sahaja,” katanya.
Dakwa Regina lagi, walaupun Shafie selalu tampil mengeluarkan kenyataan saman akhirnya tidak ada apa-apa berlaku terhadap para pengkritiknya.
“Sebelum ini dalam sebuah ucapan oleh Anifah kepada delegasi Sabah secara terbuka beliau menggelar Shafie seorang hipokrit malah bagaimana bersungguhnya beliau tidak akan tinggalkan UMNO. Tapi tidak pula Shafie saman Anifah.
“Ada lagi, apabila mantan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua membongkarkan penyalahgunaan kuasa Shafie Apdal ketika beliau Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di dalam pemberian Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Sabah dan Sarawak pada 2009.
“Shafie seperti biasa dengan cepat menyifatkannya sebagai tuduhan palsu dan berkata beliau akan failkan saman malu RM10 juta terhadap Tian Chua tetapi sehingga kini tiada apa-apa prosiding saman.
“Malah kes itu juga menyebabkan Shafie ditahan oleh SPRM berhubung dakwaan penyewelengan dalam agihan projek luar bandar di Sabah antara 2009 sehingga 2015. Ada lagi contoh tapi saya tidak mahu buang masa,” tegasnya.
Jelas Regina, Shafie tidak sepatutnya menggunakan ugutan saman seperti itu untuk mendiamkan pengkritiknya, sebaliknya hanya aka nada ‘check balance’ seandainya beliau mendepani serta membuktikan dakwaan-dakwaan tersebut.
“Jangan cuba berselindung di sebalik amaran saman atau tindakan undang-undang seperti ini, tampil nafikan sudah tentu dengan bukti kerana akhirnya rakyat Sabah sedang perhatikan keikhlasan anda,” ujarnya. –MalaysiaGazette
You must be logged in to post a comment.