Wanita 68 tahun rugi RM257,172 ditipu ‘love scam’

Seorang warga emas di bandar raya ini kerugian RM257,172 selepas ditipu sindiket “love scam”.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor Mohd Salleh Abdullah berkata, wanita tempatan berusia 68 tahun itu mendakwa mengenali seorang lelaki tempatan yang konon bekerja di Amerika Syarikat menerusi laman sosial Facebook, kira-kira 3 tahun lalu.

Beliau berkata, suspek berjanji ingin mengahwininya dan mendakwa menghantar wang tunai sebanyak AS$750,000 menerusi ejen penghantaran wang bagi tujuan pembelian rumah dan kenderaan untuk mangsa.

Menurutnya, mangsa kemudian dihubungi seorang individu yang menyamar sebagai ejen berkenaan dari Kuala Lumpur dan meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM300,000 sebagai yuran proses kastam dan cukai penghantaran wang.



“Pada mulanya mangsa tidak berasa curiga kerana suspek memberitahu akan menghantar kembali wang sebanyak AS$300,000. Susulan itu wanita berkenaan melakukan 8 transaksi sejak 11 Julai lepas, sehingga duitnya tidak mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salleh berkata, wanita berkenaan mulai curiga selepas suspek meminta untuk menjelaskan bayaran sebelum mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Sentral semalam.

Beliau berkata, wanita berkenaan yang tidak bekerja itu membuat transaksi menggunakan wang simpanan mendiang suaminya selain meminjam daripada rakan.

“Polis menasihati orang ramai supaya lebih peka dan berhati-hati dengan kumpulan sindiket seperti itu.



“Seharusnya masyarakat menyemak terlebih dahulu dengan pihak polis sekiranya mengalami kes sebegini sebelum membuat sebarang transaksi yang meragukan,” katanya. FMT

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker