Gitaris ‘Eddy Malsteen’, kakak maut kena renjatan elektrik

Pemuzik “Eddy Malsteen” dan kakaknya Wan Zunira Wan Othman maut selepas terkena renjatan elektrik alat pemanas air dalam kejadian di sebuah rumah dekat Batu 11, Jalan Lama Gombak, semalam.

“Eddy Malsteen” adalah nama pentas yang digunakan gitaris Wan Radzie.

Ketua Polis Gombak Arifai Tarawe berkata, mangsa wanita berusia 32 tahun manakala lelaki berusia 30 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring dalam bilik air rumah berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira 11 malam memaklumkan dua mangsa terkena renjatan elektrik, yang turut melibatkan seorang kanak-kanak berusia 3 tahun.



“Siasatan awal polis mendapati semasa kejadian, mangsa iaitu kakak kepada lelaki berkenaan sedang memandikan anaknya dan tiba-tiba terkena renjatan elektrik, susulan penggunaan alat pemanas air di rumahnya.

“Lelaki itu (mangsa) yang juga merupakan seorang pemain gitar profesional tempatan, kemudian terdengar jeritan kakaknya meminta bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arifai berkata, mangsa lelaki bagaimanapun turut terkena renjatan elektrik sebelum sempat menyelamatkan kakak serta anak saudaranya.

“Pihak ambulans yang tiba turut mengesahkan kematian kedua-dua mangsa,” katanya.



Beliau berkata, kanak-kanak yang berada dalam keadaan lemah pula dikejarkan ke Hospital Selayang bagi menerima rawatan kecemasan.

Arifai berkata, kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker