Pelik, sudah kalah dalam Bersatu mahu bertanding di DUN Slim pula
Bersatu berasa pelik apabila calon bebas yang mewakili parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ini kerana keputusan PRK di DUN itu sudah pasti akan dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).
Malah jelas beliau, calon bebas itu yang juga bekas ahli Bersatu, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi telah kalah dalam pertandingan Ketua Bahagian parti itu di Teluk Intan sebelum ini.
“Dalam PRK kita sudah tahu BN letak calon buat apa bertanding.
“Calon pula bekas ahli Bersatu di Teluk Intan hendak jadi Ketua Bahagian. Kalau dalam parti pun kalah ini kan pula dalam DUN Slim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah 5 Setiausaha Agung Muafakat di Dewan Besar FELDA Trolak Utara di sini malam ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon; dan Setiausaha Agung MIC, Datuk M. Asojan.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, latar belakang calon bebas itu perlu dikaji pengundi kenapa beliau bertanding di Slim.
“Letak siapa calon ini dan datang dari mana.
“Siapa yang suruh (bertanding) dan kita kena kaji,” katanya.
Hamzah turut berkongsi pengalaman menyertai Bersatu kerana ajakan Mahathir selepas kerajaannya kurang didominasi oleh pemimpin Melayu.
“Beliau jemput saya kerana hendak pastikan PH didominasi pemimpin Melayu.
“Beliau suruh saya buat Kongres Maruah Melayu kerana beliau maklumkan kerajaan yang dipimpinnya sudah kurang kemelayuan dalam ucapannya.
“Bila jatuh hendak salahkan kita dan tiada siapa yang suruh letak jawatan. Yang suruh PKR, DAP dan Amanah.
“Bukannya Bersatu, UMNO, MCA dan MIC sebaliknya kerana tekanan dari parti dalam PH untuk letak jawatan,” katanya. – MalaysiaGazette