Jho Low bantu China tangkap musuh untuk elak dipenjara

Share

AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa menjadi dalang utama dalam plot penahanan bekas ketua pakar strategi Donald Trump, Steve Bannon.

Teori itu diketengahkan oleh penulis bersama buku Billion Dollar Whale, Tom Wright di laman Twitternya.

Menurut Wright, strategi Jho Low itu adalah bagi memastikan dirinya tidak ditangkap dan mendapat perlindungan dari kerajaan China.


“Penahanan Steve Bannon dikaitkan dengan usaha perancang penipuan utama, Jho Low yang tidak mahu ditangkap.

“Low bersembunyi di China dan dia perlu mengambil hati Beijing.

“Bagaimana dia lakukan? China mahukan pelarian Guo Wengui diekstradisi ke China dari Amerika Syarikat. Guo merupakan rakan perniagaan Bannon,” ujar Wright.


Tambah Wright, Jho Low didakwa meminta bantuan pengumpul dana RNC, Elliot Broidy untuk melobi Trump supaya menyiasat Wengui bagi pihak China.

Tambahnya usaha Jho Low itu diperincikan dalam kertas pendakwaan Hawaii yang tidak secara langsung menamakan kesemua individu.

“Jho Low membayar berjuta dolar kepada Broidy untuk melobi Trump supaya mengekstradisi Guo Wengui.


“Namun ia (ekstradisi) tidak berlaku tetapi WSJ pada minggu ini melaporkan bahawa pihak berkuasa AS sedang menyiasat aktiviti pengumpulan dana bernilai AS$300 juta oleh syarikat yang dikaitkan dengan Guo dan Steve Bannon,” menurut siri Tweet itu.

Wright berkata persoalannya kini sekiranya Wengui ditangkap, ia akan menjadi khabar gembira buat Jho Low yang kini bersembunyi di negara tembok besar itu.

Bannon ditahan pihak berkuasa pada awal Ogos ketika berada di atas kapal layar mewah milik Wengui di Connecticut.

Wengui merupakan jutawan berprofil tinggi yang dikehendaki oleh China atas tuduhan rogol, culik, rasuah dan kesalahan lain.

Wengui lari dari China pada 2014 ketika Presiden Xi Jinping mengarahkan pembasmian rasuah besar besaran.

Meskipun tinggal di Amerika Syarikat namun Wengui lantang mengkritik pentadbiran China melalui media sosial. Awani

Leave a Reply