Kesatuan Umno-PAS
PAN selepas kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), terus canang isu gabungan Umno-PAS demi menagih simpati rakyat betapa mereka berada di pihak yang benar di dalam memerangi PAS.
Kata mereka, ini jenayah besar PAS kepada perjuangan dan penyokong PAS sendiri! Tak habis-habis PAN ini…
Mungkin jawapan saya berulang-ulang sebab isunya pun diulang-ulang. Tak apa, tazkirah itu berulang-ulang dan Allah merahmatinya insya-Allah…
Pertama, apa yang jadi jenayah di sisi PAN, ia adalah ibadah dan amal jihad di sisi PAS.
(Juang adalah jihad. Pejuang adalah mujahid. Parti Pejuang adalah parti Mujahid. Tahniah buat Tun Mahathir tolong promosi kalimah jihad dalam politik.)
Bagi PAN, jihad mereka adalah kalahkan Umno walaupun bersama kumpulan ideologi yang lebih bahaya daripada Umno. Maksud saya, DAP dan kumpulan Liberal totok.
Manakala bagi PAS, jihad mereka adalah satukan ummah dengan janji setia teguhkan agama Islam. Kesatuan umat Islam adalah impian PAS. Tanpa kesatuan umat, bagaimana dibayangkan impian dan matlamat agama tercapai?
Kesalahan besar PAN adalah mereka hilang atau sirna halatuju perjuangan demi permusuhan abadi dengan Umno. Ia amat salah. Tetapi ia kemalangan yang sentiasa dan akan terus berlaku dalam dunia perjuangan politik manusia. PAS istiqamah dengan izin Allah.
Kedua, ya, PAS berpuluh tahun menentang Umno. Sama macam Umno terhadap PAS. Ia kerana matlamat perjuangan kedua-duanya yang berbeza dan gagal diusahakan temuannya.
Apabila matlamat semakin mendekat melalui kefahaman dan kesedaran bersama, bibit-bibit permusuhan pula dikurangkan, manakala ancaman besar terhadap negara dikongsi dan dirasai bersama, maka ia adalah masa emas untuk kerjasama yang terbaik demi matlamat perjuangan yang besar.
PAN pula terbalik. Saat PAS berfikir besar ke arah kesatuan dan kekuatan, PAN kalut bertumbuk dengan Umno tanpa melihat jauh apa bahaya di hadapan. Lihat sajalah, apabila Umno jatuh, PH terhoyong-hayang mengemudi negara. PAN demi pertahan PH dan DAP, tak tahu pun apa bahaya menanti terhadap bangsa, apatah agama.
Apabila orang Melayu sedar, PAN masih tak sedar. Apabila orang bukan-Melayu juga sedar, PAN masih tak sedar-sedar. Panjangnya malam yang malang buat PAN.
Pujian-pujian untuk Allah. Perikatan Nasional (PN) mengemudi negara dan wujud kelegaan nyata di sisi rakyat walaupun berdepan kesukaran pandemik global.
Ketiga, PAN selalu mengelirukan ramai dengan tohmahan PAS bergabung dengan Umno. Kata mereka, PAS telah berubah perjuangan! Ia tuduhan dan tohmahan amat palsu.
Ia adalah kerjasama, bukan gabungan parti. PAS kekal kebal dengan dasar perjuangannya. Tiada siapa pun dijemput masuk untuk mengganggu dasar PAS. Apabila dasar kekal kebal tak terusik, bahkan terus diperkasakan dengan ilmu dan pendekatan yang lebih sejahtera dan berpekerti, apa yang ditakuti untuk masa depan PAS?
Adakah PAS berubah hari ini? Jawapannya tidak. Yang berubah hanyalah kawan-kawan yang datang dan pergi…
Adakah PAN berubah hari ini? Jawapannya tidak. PAN adalah PAN, bukan PAS. Adakah dulu mereka telah berubah? Jawapannya, ya. Dulu mereka PAS, kemudian mereka berubah jadi PAN. Yang berubah adalah mereka, bukan PAS.
Mudahnya, kerjasama PAS-Umno adalah seperti mana kerjasama PAS dengan parti-parti lain sebelumnya. Hari ini PAS telah mengusahakan kerjasama dengan parti BERSATU. Ada yang berubah daripada PAS?
Apa yang besar dan hebat hari ini adalah kerjasama PAS Umno melalui Muafakat Nasional (MN). Ia adalah satu peristiwa politik dalam negara yang amat besar maknanya buat umat Islam, bahkan rakyat Malaysia seluruhnya.
Hakikatnya, PAN semakin kecil dan lemah. Tanpa bantuan DAP yang sedang kalut membina terowong hantu, PAN pula dikerah bagai buruh paksa untuk turut bekerja.
Hah, hantu dah makan tuan…
NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat