Antara keresahan akar umbi dan kekuatan gabungan
ULASAN | Keputusan Muafakat Nasional (MN) menjemput Bersatu ke dalam gabungan itu sememangnya langkah tidak popular yang kurang disenangi akar umbi Umno.
Ya, ia kurang disenangi akar umbi Umno. Jika kita mengimbas pertembungan antara dua parti ini, sejak tertubuhnya Bersatu pada empat tahun lalu, memang wajar untuk orang Umno marah kepada Bersatu.
Namun, dalam politik tiada apa yang kekal, musuh tidak selamanya musuh, kawan tidak akan terus menjadi kawan, itulah falsafah politik.
Dalam situasi ini yang menjadi sasaran adalah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi kerana akar umbi parti itu beranggapan Bersatu dipelawa menyertai MN oleh bekas timbalan perdana menteri itu.
Lantaran itu, Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan tampil memberi penjelasan bahawa keputusan MN menjemput Bersatu dibuat bukan atas kapasiti presiden Umno mahupun presiden PAS, tetapi diputuskan oleh jawatankuasa khas yang dianggotai kedua-dua parti.
Jika mengambil kira kronologi itu, hakikat yang perlu diakui ialah keputusan itu dibuat presiden Umno berdasarkan keputusan mesyuarat.
Pun begitu, jelas Shahril, keresahan akar umbi juga adalah hakikat yang perlu diberi perhatian.
Perkara itu diakui sendiri oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan. Pada 18 Ogos lalu dia dilaporkan berkata akar umbi parti itu resah dengan penyertaan Bersatu.
Ketika itu, Mohamad menjelaskan bahawa pandangan tidak menarik diterima daripada akar umbi parti itu apabila khabar tentang hasrat Bersatu untuk menyertai MN sampai kepada mereka.
Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula memberikan lima sebab mengapa timbulnya keresahan akar umbi Umno terhadap perkembangan itu.
“Adalah tidak tepat andai ada gambaran bahawa presiden bertindak di luar pengetahuan majlis kepimpinan yang lain.
“Melihat ‘mood’ akar umbi, kenyataan ini mungkin kurang popular, tetapi berpegang kepada prinsip ‘berkata benar walaupun pahit’. Ini terpakai kepada pemimpin juga akar umbi,” demikian luah Shahril dalam satu hantaran di Facebooknya.
Kegelisahan dan keresahan itu memang wujud. Mana tidaknya, ketika bahtera Umno hampir karam dan tidak sedikit wakil rakyatnya lompat parti, pasti ketua bahagian yang setia dengan Umno sedikit sebanyak menyimpan impian dan hasrat untuk bertanding dalam PRU akan datang.
Bagi kalangan ‘oportunis’ pula, momentum yang dicipta MN membuka peluang yang seharusnya dimanfaatkan ataupun dijadikan batu loncatan untuk PRU15 nanti.
Justeru tidak hairanlah jika penyertaan Bersatu memberi kesan kepada golongan ‘akar umbi’ ini.
Di pihak PAS pula, akar umbinya dilihat tidak mempunyai masalah. Bersatu menyertai MN adalah satu bonus buat mereka apatah lagi PAS kini turut menjadi sebahagian dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimana pula dengan Bersatu sendiri? mereka barangkali berdepan keadaan sama – penyertaan ke dalam MN sedikit sebanyak memberi keresahan kepada pemimpin akar umbi parti itu.
Perkara pokok yang menjadi punca kegelisahan mereka juga barangkali sama – takut akan kehilangan kuasa yang dimiliki pada hari ini.
Selain itu, boleh dikatakan kerisauan itu juga disebabkan peluang untuk bertanding dalam PRU15 semakin tipis memandangkan Umno lebih kuat di peringkat akar umbi.
Namun pastinya, bagi pemimpin utama Bersatu penyertaan ke dalam MN membawa satu kelegaan. Dengan langkah ini, mereka dapat membina kekuatan khususnya untuk menarik sokongan pengundi Melayu yang bersama MN.
Apatah lagi Bersatu kini menerima tempias daripada kewujudan parti Pejuang yang diasaskan bekas pemimpin tertinggi mereka, perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.