Mira Filzah minta maaf, tiada niat cetus isu
NAMA pelakon dan pengacara, Mira Filzah menjadi trending di media sosial gara-gara gambarnya memakai pakaian tradisional kaum India menjadi bahan perdebatan netizen.
Melalui satu ciapan di Twitter, pengguna sosial media tersebut menulis: “Cultural appropriation queen must feel nice to profit off our culture.”
Memetik laporan Harian Metro, pelakon yang popular dengan drama Sweet Dream itu berkata, dia tidak berniat untuk menimbulkan sebarang isu menerusi penampilannya yang menyarung pakaian tradisional pengantin wanita masyarakat India, Lehenga.
Gambarnya memakai pakaian tersebut adalah untuk penggambaran produk terbaharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Saya memilih Bollywood sebab saya memang peminat setia filem dan lagu Hindustan, dalam hati teringin nak memakai pakaian Bollywood dan bila ada peluang sebegini saya terus lakukan dan tidak terfikir untuk menimbulkan sebarang isu,” katanya.
Dalam masa sama, Mira Filzah atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 27 berpendapat, Malaysia mempunyai pelbagai bangsa dan budaya, lalu perkara itu tidak mendatangkan sebarang masalah jika rakyat negara ini mencuba pakaian kaum lain.
Bagaimananapun, enggan mengguris hati mana-mana pihak, Mira dengan rendah diri memohon jika ada yang kurang senang dengan tindakannya itu. Awani
You must be logged in to post a comment.