Rozaimi sedih pemimpin tak patuh SOP, minta jangan pula ‘disekeh’
Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Dr Rozaimi Ramle melahirkan rasa sedih dengan tindakan pemimpin negara yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin Covid-19.
Walaupun tidak menyebut pemimpin negara yang dimaksudkan, Rozaimi dipercayai merujuk Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa gagal melakukan kuarantin kendiri selepas pulang daripada kunjungan luar negara.
Rozaimi turut menambah bahawa dia hanya menyatakan kesedihannya berhubung perkara itu dan berharap kepalanya tidak “disekeh”.
“Nasihat saya supaya patuhlah SOP untuk kawalan Covid-19. Bila anda tidak patuh, anda mungkin akan menyusahkan kakitangan KKM bila jangkitan berlaku. Ambillah contoh kes kluster Sivagangga. SOP dibuat untuk kebaikan bersama.
“Sedih sungguh apabila pemimpin negara sendiri tidak patuh SOP untuk kuarantin diri.
“Saya hanya menyatakan kesedihan sahaja, jangan sekeh kepala saya pula,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.
Catatan itu mendapat lebih 50 perkongsian selepas kira-kira 30 minit tulisan itu dimuat naik.
Khairuddin sebelum ini dilaporkan pergi ke Turki pada 3 hingga 7 Julai.
Susulan itu, Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok mendakwa Khairuddin gagal melakukan kuarantin kendiri 14 hari selepas pulang daripada kunjungan ke Turki.
Baca Pensyarah terkejut MP PAS nak sekeh kepala mufti
Lebih daripada itu Khairuddin juga hadir ke Dewan Rakyat kurang dari seminggu selepas kembali dari luar negara.
Sumber yang dekat dengan Khairuddin mendakwa menteri itu sudah disahkan negatif Covid-19 selepas kembali dari luar negara, selain menambah bahawa Turki merupakan negara zon hijau.
Untuk rekod Covid-19 mempunyai tempoh inkubasi (pengeraman) selama 14 hari, dan jumlah kes dilaporkan di Turki ketika kunjungan Khairuddin menimbulkan persoalan terhadap dakwaan ia merupakan zon hijau.
Selain itu, terdapat juga kes yang disahkan positif walaupun didapati negatif pada ujian saringan kali pertama. Sebelum ini sudah ada banyak kes dihukum denda dan penjara apabila individu yang diletakkan di bawah pengawasan gagal mematuhi perintah kuarantin wajib.
Ekoran daripada itu, pemimpin Pemuda DAP Seputeh semalam membuat laporan polis terhadap Khairuddin.
Namun dalam maklum balas Khairuddin malam tadi, dia enggan mengulas panjang mengenai isu kegagalannya melakukan kuarantin kendiri selepas pulang daripada kunjungan luar negara.
Sebaliknya anggota Palimen Kuala Nerus itu sekadar meminta agar wartawan yang mengemukakan soalan agar menunggu kenyataan rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kecaman pengguna media sosial
Bagaimanapun, pengguna media sosial terus menyatakan kritikan berhubung perkara itu.
Pemilik akaun Twitter Sir Zayn mencadangkan agar anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu disebat ekoran kegagalannya mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Cadangan: Sebat ta’zir bagi sesiapa yang melanggar kuarantin,” katanya di Twitter.
Sebat dalam masalah Ta’zir adalah kesalahan-kesalahan yang dikenakan dengan satu atau lebih daripada siksaan-siksaan ta’zir, iaitu denda yang menjadi pengajaran.
Sir Zayn adalah seorang blogger kulit putih yang fasih berbahasa Melayu dan sering kali bercakap tentang pantun atau simpulan bahasa selain bersembang tentang Melayu, Islam di laman Twitter miliknya.
Mengulas isu sama, bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik pula berkongsi pautan Twitter Khairuddin sebelum ini yang menyatakan Kluster Sivagangga telah didakwa melanggar perintah kawalan kendiri yang ditetapkan.
“Laaa selama ini ingatkan Sivagangga nama timangan pemilik Nasi Kandar Salleh. Terima kasih @NoorAminAhmad kerana berikan pencerahan melalui artikel dari @UstDrTakiri.
“Penjelasan yang amat membantu marhaen seperti kami untuk lebih menjaga SOP demi negara tercinta,” sindirnya di Twitter.
Pengguna Twitter Afi H pula dalam ciapan kepada pemilik akaun Johnny McNulty pula berkata menteri pelancongan Ireland telah meletakkan jawatan selepas pulang dari percutiannya di Itali.
“Ini penanda aras untuk Khairuddin,” katanya di Twitter
Manakala pemilik Twitter Pak Arman Amin mempersoalkan tindakan Khairuddin yang tidak mematuhi SOP ditetapkan.
“Yang Dipertuan Agong pun kuarantin 14 hari. Si Khairuddin ini siapa?” soalnya. Mkini
You must be logged in to post a comment.