Henti kelirukan rakyat berkait penerbangan perubatan, Wee beritahu kerajaan P Pinang

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong mendakwa seorang ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang cuba mengelirukan rakyat mengenai isu penerbangan sewa perubatan ke negeri itu.

Beliau merujuk dakwaan Wong Yuee Harng yang Kementerian Pengangkutan bertindak sebelah pihak membenarkan penerbangan sewa perubatan dari Indonesia mendarat di negeri itu.

Wee berkata, 5 pelancong yang tiba dari Medan, Indonesia itu memenuhi SOP ketat ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk kuarantin wajib dan ujian saringan mengikut standard kesihatan serta perubatan antarabangsa.

“CAAM, Malaysia Airports Holdings Bhd dan Jabatan Imigresen telah membenarkan penerbangan sewa dari Indonesia tersebut mendarat setelah memenuhi SOP,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Beliau berkata, kerajaan Pulau Pinang perlu mengesyorkan MKN membuat keputusan akhir, jika ia melarang penerbangan sewa perubatan mendarat di negeri itu, seperti yang dilakukan kerajaan Sarawak sebelum ini.

“Namun, Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak menerima pemakluman larangan daripada kerajaan Pulau Pinang dan juga tidak menerima arahan daripada MKN untuk melarang penerbangan sewa bagi tujuan perubatan memasuki Pulau Pinang.

Beliau turut membidas 2 exco Pulau Pinang yang membantah penerbangan sewa perubatan mendarat di negeri itu.

“Exco Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin ada mengatakan kerajaan negeri melarang penerbangan perubatan daripada memasuki Pulau Pinang. Seorang lagi exco Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin juga mengatakan beliau membantah penerbangan perubatan dari Indonesia pada mesyuarat exco negeri dan mesyuarat majlis khas keselamatan negara.



“Kedua-dua mesyuarat itu dipengerusikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. Pada mulanya, Ketua Menteri Chow memuji pencapaian negeri tersebut dalam sektor pelancongan kesihatan pasca Covid-19, akan tetapi kenyataan beliau tidak diterima baik oleh rakyat Pulau Pinang.

“Pada malam itu juga, Chow berubah nada dan mengatakan beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai penerbangan sewa bagi tujuan perubatan.”

Beliau mempersoalkan jika kerajaan negeri menyedari masalah itu.

“Kerajaan negeri langsung tidak membantah mana-mana jabatan yang relevan, sebaliknya hanya ‘kecoh’ selepas ianya berlaku atau ‘afterthought’, bukankah ini pertunjukan politik?” soal Wee.



Pada 14 Ogos lalu, AirAsia mengadakan penerbangan sewa perubatan antarabangsa pertamanya dari Medan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, tetapi ia mencetuskan kontroversi di media sosial kerana ada yang bimbang jumlah kes Covid-19 tinggi di Indonesia dan risiko penularan virus itu di Pulau Pinang.

Isnin lalu, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan larangan kemasukan pelancong perubatan susulan lonjakan kes Covid-19 di negeri itu.

Chow dilaporkan berkata, kerajaan negeri tidak dimaklumkan ketibaan 3 pesakit dari Indonesia ke sebuah hospital swasta di Pulau Pinang.

Katanya, larangan itu dikekalkan sehingga Kementerian Kesihatan memuktamadkan prosedur bagi pelancongan perubatan. FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker