Gelang dipakai warga emas cetus panik di masjid dan balai polis

Niat asal seorang warga emas yang ingin membuat laporan polis bertukar malang hari ini setelah berlaku salah faham sehingga dibawa ke hospital menaiki ambulans kerana disyaki pesakit Covid-19.

Semua salah faham ini gara-gara gelang berwarna merah jambu dari hospital yang dipakainya dan ketika berada di Balai Polis Sentul, di Kuala Lumpur warga emas itu berkata dia batuk serta sesak nafas.

Warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Razak itu menjelaskan gelang berwarna merah jambu tersebut sememangnya dari hospital namun bukan kerana dia dijangkiti Covid-19.

”Saya masuk hospital enam hari sebab sesak nafas, masalah jantung. Semalam baru keluar.

“Lupa nak tanggalkan gelang hospital itu (gelang merah jambu),” katanya yang berasal dari Segambut itu.

Pada awalnya, Razak, 80, menjelaskan alasan dia ingin membuat laporan polis kerana berasa berang dengan sikap jemaah masjid di kawasan yang menghalaunya ketika ingin mendirikan solat Asar di rumah ibadat itu atas alasan yang sama.

“Mereka halau dan pukul sebab ingat gelang saya pakai itu Covid-19.

“Saya juga tidak tahu mereka kata apa, sebab tak dengar sangat. Mereka pukul. Saya marah hendak pergi nak buat laporan polis.

“Tetapi bila sampai (Ibu Pejabat Daerah) Sentul polis pula ingat saya ada Covid-19.

“Tak sempat mahu beritahu (saya bukan pesakit Covid-19) orang hospital datang pakai (PPE) (sut perlindungan diri) kena naik ambulans pergi Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia yang mengaku terkejut dengan kejadian itu, namun berasa lega setelah pihak hospital mengesahkan dirinya bukan seorang yang dijangkiti wabak tersebut.

“Hospital lepas itu, tahan saya sekejap, tengok rekod baru tahu sebab saya punya gelang,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, selepas salah faham tersebut diselesaikan, dia dijemput oleh anaknya untuk pulang.

“Mereka ambil tag (merah jambu) itu dan kemudian bagi saya balik,” katanya lagi.

Balai kembali operasi 4 petang tadi

Salah faham tersebut turut menyebabkan balai polis itu terpaksa ditutup sementara waktu bagi menunggu keputusan dari pihak hospital.

“Atas saranan petugas (hospital) yang tiba, pihak polis mengambil initiatif untuk tindakan menutup Balai Polis Sentul secara sementara sahaja menunggu keputusan dari pihak Hospital Kuala Lumpur.

“Tindakan sanitasi di sekitar Balai Polis Sentul telah dibuat sejurus itu dan semua petugas tidak dibenarkan keluar dari lokasi sehingga dimaklumkan HKL,” kata Ketua Polis Sentul S Shanmugamoorthy menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Shanmugamoorthy, balai polis itu telah beroperasi seperti biasa jam 4 petang tadi selepas proses sanitasi kedua diadakan. Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker