Sanggup tikam kakak sendiri
HANYA kerana perselisihan faham membabitkan masalah peribadi menyebabkan seorang wanita tergamak menikam kakaknya di kediaman mereka di Kampung Baru Kundang, di Gombak, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian itu disedari anak perempuan mangsa berusia 35 tahun jam 11.30 pagi sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
Menurutnya, wanita terbabit memberitahu ibunya, 63, dan ibu saudaranya, 59, mengalami kecederaan dan berlumuran darah akibat bergaduh sesama sendiri di Kampung Baru Kundang.
“Siasatan mendapati wanita warga emas itu mengalami kecederaan di perut akibat ditikam dengan senjata tajam.
“Manakala adiknya juga mengalami kecederaan sebelum mereka dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya kepada Harian Metro.
Arifai berkata, siasatan juga mendapati punca pergaduhan itu akibat masalah peribadi.
“Suspek yang menikam mangsa sudah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya. HM
You must be logged in to post a comment.