Beri pelepasan cukai one-off untuk individu terjejas- Tok Mat
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan kerajaan supaya individu berpendapatan rendah dan menengah diberi pelepasan cukai khas secara one-off mengikut jumlah yang berpatutan.
Ini bagi meringankan beban cukai ke atas rakyat yang paling terkesan akibat penguncupan ekonomi susulan penularan pandemik Covid-19.
Tambahnya, kerajaan juga boleh mempertimbangkan cadangan pengurangan sementara cukai korporat terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Langkah itu penting katanya, untuk mempercepatkan pertumbuhan pelaburan swasta.
Bagi mengimbangi kehilangan pendapatan tersebut, kerajaan menurut bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan cukai kekayaan dan cukai warisan harta.
Selain itu, Mohamad turut meminta kerajaan Malaysia mempertimbangkan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara berperingkat dan teratur.
“Langkah pembukaan semula sempadan akan memacu aktiviti ekonomi, memudahkan pergerakan tenaga buruh dan membantu menangani masalah pengangguran.
“Industri tempatan terutamanya sektor pelancongan dan pendidikan tinggi tidak dapat bertahan dengan sokongan pasaran domestik semata-mata.
“Penyambungan semula aktiviti ekonomi rentas sempadan adalah strategi penting untuk meningkatkan permintaan dan pengeluaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Mohamad, negara-negara anggota ASEAN perlu meningkatkan kerjasama ekonomi serantau untuk memacu pemulihan ekonomi bersama-sama.
Trajektori pertumbuhan serantau perlu diteliti semula agar lebih berdaya saing, berketerangkuman dan dipandu oleh teknologi digital.
ASEAN perlu merangsang ekonomi serantau dengan mengurangkan sekatan perdagangan yang dikenakan semasa pandemik serta berusaha untuk memuktamadkan perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), ujarnya. – MalaysiaGazette
You must be logged in to post a comment.