Tiga lelaki Pakistan, seorang Bangladesh didakwa rogol, cabul kanak-kanak dilacurkan bapa

Tiga lelaki Pakistan dan seorang warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun sejak dua tahun lalu.

Muhammad Haque Anwar Ul, 34; Yousaf Gul, 35; Astar Khan, 29, kesemuanya warga Pakistan dan warga Bangladesh Md Suhag Hosan, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Bangladesh dan Urdu.

Mengikut kertas pertuduhan, Yousaf didakwa telah merogol mangsa ketika itu berusia 11 tahun di sebuah kondominium di Batu 9 Cheras, Hulu Langat, pada November 2018 sementara Anwar Ul dan Mg Suhag turut dituduh melakukan kesalahan serupa di tempat sama, masing-masing pada Oktober 2019 dan 2019.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan juga boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Astar pula didakwa dengan sengaja telah menyentuh bahagian badan kanak-kanak itu di tempat sama pada November 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat tidak menawarkan jaminan memandangkan kesemua tertuduh warga asing, namun Anwar Ul, yang diwakili peguam, Dr Pritam Singh Doal memohon dibenarkan diikat jamin kerana mempunyai saudara yang berkahwin dengan rakyat tempatan.

Hakim Mohd Kafli Che Ali membenarkan Anwar Ul diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin rakyat tempatan dan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta dilarang menganggu mangsa sehingga selesai kes.

Tiga lagi tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak dibenarkan diikat jamin. Mahkamah menetapkan 5 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi keempat-empat lelaki itu.

Pada 11 Julai lalu, ibu saudara mangsa mendakwa mangsa telah dirogol dan dilacurkan oleh bapa kandung sendiri di sebuah kondominium di Hulu Langat sejak tahun 2017.

Sebelum ini, pada 6 Ogos lepas, seorang pemandu lori yang merupakan bapa kepada kanak-kanak perempuan itu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan melakukan eksploitasi seks terhadap isteri dan anaknya antara Januari 2015 dengan Februari tahun ini.

Mahkamah itu menetapkan 19 Ogos untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.

BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker