‘Calon PRU15 di Gombak perlu persetujuan Muafakat Nasional yang asal’
Mana-mana calon di Gombak – sama ada untuk kerusi Parlimen mahupun DUN – perlu mendapat persetujuan Umno dan PAS, kata Ketua Umno Gombak Megat Zulkarnain Omardin, atau apa yang disifatkannya sebagai “Muafakat Nasional yang asal”.
Dia berkata, ketetapan itu telah dicapai bersama PAS Gombak dan akan mempertahankan keputusan itu apabila tiba PRU ke-15 nanti.
“Di peringkat Gombak, ini pendirian kami dan PAS kawasan yang mewakili Muafakat Nasional (MN),” katanya menerusi rakaman audio ketika sidang media selepas program Silat Cekak Harimau Malaya di Chenor, Pahang, malam tadi.
Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak, Megat Zulkarnain yang juga setiausaha agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) jelas menyasarkan Anggota Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali.
Mengulas lanjut, dia berkata pihaknya “tidak meraikan sangat” pihak yang melompat parti walaupun ke partinya sendiri.
“Saya orang silat…kita ada prinsip kita. Sebagaimana kita rasa sedih bila kalah PRU ke-14 (dan) ahli Parlimen (Umno) melompat, begitulah juga perasaan kita bila orang lain lompat dari parti mereka. Jadi tak adil kalau kita terima dan raikannya,” katanya lagi.
Tindakan Azmin dan sembilan lagi anggota Parlimen yang keluar PKR merupakan antara sebab jatuhnya pentadbiran PH pada awal Mac lalu.
Terdahulu, hubungan antara MN Gombak dengan Azmin sedia tegang apabila menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu didakwa meminggirkan Umno dan PAS Selangor dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg).
Justeru itu, pada 18 Julai lalu, Yang di-Pertua PAS Gombak Salehuddin Mohd Nasir berkata pihaknya tidak ingin bekerjasama dengan Azmin dan telah memaklumkannya kepada setiausaha politiknya, Muhammad Hilman Idham, yang juga Adun Gombak Setia.
Mengulas lanjut, Megat Omardin berkata pihaknya tidak akan lupa kenyataan Azmin terhadap mereka ketika PRU ke-14 dua tahun lalu.
“Dalam politik kita boleh beza pendapat…Jika bertepuk tampar, pukul di bahu, orang boleh lupa. Tapi jika anda hit below the belt (celaan yang bersifat tidak adil), orang akan ingat. saya dan orang Umno di Gombak masih ingat kenyataan dia menjelang PRU ke-14.
“Saya fikir dia mungkin ada sokongan daripada orang lain. Bagi MN, kita ada prinsip dan pendirian sendiri,” katanya lagi.
Malaysiakini telah menghubungi Hilman untuk mendapatkan respons berkenaan perkara ini. Mkini
You must be logged in to post a comment.