MN tak guna sistem lama lantik pengerusi, Annuar beritahu Mukhriz

Share

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Annuar Musa berkata Muafakat Nasional (MN) tidak lagi menggunakan sistem lama untuk melantik pemimpin parti sebagai pengerusi kerana semua parti setaraf dalam pakatan itu.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan bekas timbalan presiden PPBM, Mukhriz Mahathir semalam, kebiasaannya perdana menteri mengetuai sebuah pakatan politik, tetapi hampir mustahil untuk Muhyiddin Yassin menjadi pengerusi MN berdasarkan status “adik bongsu” dalam pakatan itu.

Annuar berkata, persoalan sama ada MN akan memilih Muhyiddin sebagai pengerusi pakatan itu menunjukkan Mukhriz ketinggalan 20 tahun ke belakang.


“Kita sudah tidak pakai sistem politik itu. PPBM, Umno dan PAS, tiga-tiga boleh jadi calon,” katanya selepas menyerahkan lesen kepada peniaga kecil di Batu Muda hari ini.

Semalam, Mukhriz dilapor mempersoalkan keputusan PPBM menyertai MN dan jika bekas partinya yang merupakan “adik bongsu” dalam MN akan dibenarkan menjadi pengerusi pakatan itu.

Annuar secara sinis turut menasihatkan Pejuang, parti baru yang ditubuhkan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad meniru model baru MN.


“Untuk Pejuang bolehlah pakai. Buat parti, lantik anak. Itu model lama, model ayah lantik anak jadi pengerusi.

“Kena tiru model MN. Bertoleransi, tak ada masalah.”

Beliau berkata, BN mempunyai kerusi paling banyak di Dewan Rakyat berbanding PAS dan PPBM, tetapi mereka bertolak ansur untuk Muhyiddin menerajui kerajaan Perikatan Nasional.


“BN kerusi paling banyak, (tetapi) bagi Muhyiddin jadi perdana menteri. Nanti bagi balik pada Umno jadi perdana menteri.”

Sementara itu, Annuar berkata, MN bukan pakatan memfokuskan Melayu, sebaliknya ia membawa semangat dan konsep berbilang kaum yang sangat penting kepadanya.

“Setiap pihak akan mempunyai identiti mereka sendiri dan autonomi kita sendiri. Kita akan memperkukuhkan MN.

“Selepas ketiga-tiga parti itu (bersatu), kita akan membawa parti-parti berbilang kaum yang lain kerana MN bukan ‘Malay Centric’.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan PPBM bersetuju menyertai MN kerana penyatuan itu akan mewujudkan kestabilan politik.

Katanya, dengan penyatuan antara PPBM, Umno, PAS dan parti lain dalam kerajaan PN, sebahagian besar sokongan rakyat sudah berada di pihak mereka. FMT

Leave a Reply