Malaysia hadapi penularan COVID-19 hingga tahun depan – Pakar

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka terus berdepan penularan wabak COVID-19 sehingga tahun depan, berikutan banyak lagi negara yang berdepan masalah dalam membendung wabak itu.

Selain itu, tindakan segelintir rakyat yang pulang ke Malaysia dari luar negara dan tidak mematuhi arahan kuarantin rumah juga, dikhuatiri menyumbang kepada kewujudan gelombang baharu itu, terutama jika mereka gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan lain yang ditetapkan bagi membendung penularan.

Pakar Epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, berpendapat situasi semasa menunjukkan sempadan negara belum boleh dibuka sepenuhnya, selagi negara tidak yakin penularan luar dapat dibendung.

“Disebabkan risiko ini, pembudayaan kebiasaan hidup yang baharu amat penting untuk mencegah penularan gelombang ketiga.



“Penguatkuasaan undang-undang penting tetapi ia mesti disertakan dengan pendidikan kesihatan yang berterusan supaya kebiasaan baharu termasuk pematuhan SOP dapat dibudayakan.

“Jika kita tidak mengambil langkah ini, “SOP fatigue” (keletihan pematuhan SOP) akan terjadi dan kealpaan akan mula berlaku,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kemungkinan wujud gelombang ketiga wabak COVID-19 di Malaysia, susulan terdapat segelintir rakyat yang gagal mematuhi SOP kuarantin di rumah.

Mengenai kes kematian akibat virus itu yang kini berkurangan, Dr Awang Bulgiba berkata, ia adalah perkembangan yang baik disebabkan jumlah kes aktif yang tidak lagi banyak, selain pengetahuan yang semakin meningkat mengenai rawatan pesakit.



“Kebolehan negara untuk mengenal pasti kes pada peringkat awal juga amat membantu dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata tindakan mereka yang sepatutnya menjalani kuarantin, namun berlegar-legar seperti tiada sekatan, selain fenomena ‘super spreader’ menyebabkan jangkitan virus itu meningkat dengan lebih meluas.

“Genom virus ini mungkin berbeza. Strain Genom virus berbeza mungkin mengakibatkan virus menjadi lebih virulens (keupayaan menyebabkan kesan serius atau maut) dan mudah berjangkit.

“Kadar transmisinya lebih tinggi dan kekal. Bagaimanapun, jenis genom ini masih dalam kajian,” katanya.



Dr Sharifa Ezat turut berpendapat, selain penguatkuasaan yang lebih ketat kepada mereka yang dikuarantin, saringan COVID-19 juga perlu tertumpu kepada peniaga dan pekerja asing yang berisiko tinggi.

Mengulas kadar kes kematian yang semakin berkurangan, beliau berkata, kajian yang diterbitkan jurnal Cell oleh Prof Bette Korber pada Julai lalu yang bertajuk ‘Tracking changes in SARS Cov 2 spike evidence that D614G increases infectivity of COVID-19 virus’ menunjukkan strain lama D614 sudah semakin kurang secara global namun diganti pula dengan strain baharu G614.

“Strain baharu ini dikatakan tiga ke enam kali lebih mudah menjangkiti tetapi kurang virulens atau kurang menyebabkan jangkitan yang teruk kepada seseorang.

“Hasil kajian ini masih baharu dan perlu direplikasi dengan kajian lain.



“Bagaimanapun, hasil sama menunjukkan pemakaian pelitup muka, membasuh tangan dan penjarakan fizikal masih kekal sebagai langkah utama mengelak jangkitan,” katanya.

Berita Harian

Dr M says it again: Anwar cannot be PM because unpopular with Malays



Tempoh PKP lanjut dua bulan jika COVID-19 terus merebak’ – pakar virus

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker