‘Jika benar mahu undang-undang antilompat parti, pecat Adun di P Pinang dulu’

Menteri undang-undang Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang harus melucutkan empat Adun mengikut undang-undang antilompat parti negeri itu, jika pembangkang benar-benar mahukan undang-undang berkenaan dilaksanakan di peringkat persekutuan.

“Saya mencadangkan agar Pulau Pinang memecat para Adun tersebut dan membawa perkara ini ke mahkamah dan melihat apakah mahkamah akan menyokong keputusan mahkamah dalam kes 1992 Dewan Undangan Negeri Kelantan lwn Nordin Salleh,” kata Takiyuddin ketika sesi penggulungan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Untuk rekod, dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan lwn Nordin Salleh, mahkamah memutuskan bahawa pindaan terhadap perlembagaan Kelantan, yang melarang melompat parti tidak sesuai dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan kebebasan berpersatuan.

Takiyuddin pada mulanya menyorot tiga Adun Pulau Pinang yang berpaling tadah dari parti mereka baru-baru ini, iaitu wakil Bertam Khalid Mehtab Mohd Ishaq, wakil Teluk Bahang Zolkifli Md Lazim dan wakil Seberang Jaya Afif Bahardin.

Oleh itu, katanya, kerajaan Pulau Pinang harus memaksa ketiga-tiganya mengosongkan kerusi mereka berdasarkan Enakmen Perlembagaan Pulau Pinang (Pindaan) 2012, yang merujuk kepada undang-undang antilompat parti negeri.

Undang-undang tersebut menyatakan bahawa wakil rakyat harus mengosongkan kerusi mereka jika mereka bertukar parti atau menjadi Adun bebas ketika penggal perkhidmatan mereka.

Bagaimanapun, Wong Hon Wai (PH – Bukit Bendera) menafsirkan bahawa sebenarnya ada empat Adun yang telah bertukar parti atau sokongan baru-baru ini, dengan merujuk wakil rakyat keempat itu sebagai Adun Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim.

Wong juga mengatakan bahawa tindakan akan diambil terhadap keempat-empat Adun ini di persidangan DUN Pulau Pinang berikutnya pada bulan Oktober.

Takiyuddin menyambut baik kenyataan Wong dan mengatakan bahawa dia menantikan perkara itu.

Keempat-empat Adun tersebut telah berpaling tadah dari Pakatan Harapan (PH) untuk menyokong Perikatan Nasional (PN).

PH sebelum ini mendesak agar undang-undang antilompat parti dilaksanakan di peringkat persekutuan.

Ia susulan kejatuhan kerajaan PH pada akhir Februari akibat rampasan kuasa yang digelar sebagai ‘Langkah Sheraton’.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker