Polis patut ucap terima kasih bukan siasat saya [Video]

CYBERJAYA – Seorang peniaga burger yang videonya tular dengan dakwaan bahawa terdapat aktiviti perjudian dan perniagaan haram di Sungai Buloh kesal apabila dirinya pula dipersalahkan oleh pihak berkuasa susulan pendedahan panas itu.

Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd. Asri Hamid berkata, sepatutnya selepas kegiatan haram itu dibongkar, pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap pelakunya tetapi sebaliknya pula berlaku.

“Baru sebentar tadi kita dengar ketua polis Sungai Buloh dalam sidang akhbarnya bahawa polis membuat laporan terhadap saya dengan menyatakan saya membuat tohmahan.

“Sebenarnya ini bukan tohmahan tapi cerita betul, sepatutnya pihak polis hubungi saya ucap terima kasih dan hantar bunga sebab saya beri maklumat, tetapi ia tidak jadi begitu. Benda ini bukan baru, sudah lama isu mesin judi ini berlaku.

“Semua orang tahu karakter kedai mesin judi ini macam mana, bagaimana pula polis tidak tahu. Bukan ada setakat tiga atau empat kedai judi sahaja tetap banyak lagi. Ini baru di Bandar Baru Sungai Buloh, belum di tempat lain lagi,” katanya secara eksklusif kepada Malakat Tribune ketika ditemui hari ini.

Semalam tular satu video oleh seorang lelaki menerusi sebuah laman di Facebook yang mendakwa terdapat premis perjudian dan aktiviti haram di sekitar kawasan perindustrian Sungai Buloh yang tidak diambil tindakan oleh pihak penguatkuasa.

Lelaki itu bertindak demikian selepas tidak berpuas hati beberapa gerai yang menjual burger pada waktu malam disita oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedangkan, beberapa kedai haram milik warga asing dan kedai perjudian dibiarkan beroperasi tanpa tindakan.

Dalam pada itu, Mohd. Asri berkata, aduannya berhubung isu judi haram bukan tidak pernah dibuat, malah beliau pernah membuat laporan sehingga ke Bukit Aman tetapi tindakan susulan diambil sangat mengecewakan.

“Masa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kedai-kedai judi ini masih beroperasi sampai pukul 2 hingga 3 pagi, saya ada bukti dan kemudian saya buat aduan pada Bukit Aman dan mereka minta saya pergi ke bahagian perjudian. Kemudia saya bagi video dan sebagainya. Maksudnya saya sudah ke peringkat tertinggi.

“Tapi apa jadi akhirnya? Kedai ini hanya ditutup dua hari, lepas itu buka balik. Saya nak mengadu pada siapa lagi? Kemudian saya pergi pula ke bahagian integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu pihak yang paling tinggi boleh membantu kita, saya buat laporan dan hantar video.

“Tahu apa yang berlaku selepas itu? Selepas itu pekerja saya dipanggil oleh seorang tauke kedai judi dan bertanya kenapa awak punya bos ‘complain’ tentang mereka. Persoalannya, macam mana tauke ini tahu,” ujarnya.

Mohd. Asri berkata, isu tersebut tidak tamat begitu sahaja sebaliknya beliau diugut secara tidak langsung apabila tauke judi berkenaan menambah dua lagi kedai judi dan salah satu kedai itu terletak betul-betul di sebelah kedai miliknya.

“Tindakan ini seolah-olah mencabar saya, tetapi apa boleh saya buat,” katanya dengan nada kecewa.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker