Zaidi calon paling disukai untuk tanding PrkSlim
Pemangku Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz dilihat sebagai individu yang kemungkinan akan dicalonkan BN dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Slim akan datang.
Sumber dalam Umno memberitahu, Zaidi adalah yang paling disukai dalam kalangan tujuh calon yang telah disenarai pendek untuk dipertaruhkan BN bagi mempertahankan kerusi berkenaan.
“Dia adalah ‘abang besar’ bahagian yang diberi kepercayaan untuk memimpin bahagian ini. Dia adalah ‘Mr Cool’ dan lelaki yang baik,” kata sumber kepada Malaysiakini.
“Pasti dia layak menjadi calon jika dipertimbangkan kedudukannya. Dia adalah calon yang tepat untuk Slim,” kata sumber itu.
Zaidi dilantik sebagai pemangku ketua bahagian berikutan kematian penyandangnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Slim selama empat penggal Mohd Khusairi Abdul Talib, 59.
Khusairi meninggal dunia pada 15 Julai kerana serangan jantung.
Pilihan raya kecil akan diadakan pada 29 Ogos, dengan penamaan calon pada 15 Ogos.
Calon lain yang disenarai pendek termasuk naib ketua bahagian Tanjung Malim, Mohamad Hatta Lodin dan setiausaha Umno bahagian, Sulong Jamil Mohamed Shariff.
Sulong juga dilihat sebagai pilihan yang baik kerana dia adalah ketua Peneroka Felda Nasional dan Slim adalah rumah bagi tiga penempatan Felda.
Oleh itu, Sulong dilihat sebagai pilihan untuk pengundi di kawasan Felda yang sekali gus dapat menarik undi untuk BN, menurut sumber itu.
Salina Samsudin adalah satu-satunya calon wanita dalam senarai. Dia adalah ketua wanita bahagian dan isteri kepada Sulong.
Calon lain yang turut disenarai pendek adalah anggota jawatankuasa bahagian Rosli Mohd Salleh,
Ku Zaharin Ku Mansor dan ketua sayap Pemuda, Mohamad Amin Than.
Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk memberi peluang kepada kumpulan Bersatu Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti.
Pada pilihan raya 2018, Khusairi memenangi kerusi Slim mengalahkan calon Bersatu, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal, dengan majoriti 2,183 undi.
You must be logged in to post a comment.