Muafakat Nasional, Muafakat Untuk Semua – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Muafakat Nasional adalah muafakat untuk semua.
“Sahabat sejati bukanlah mereka yang memiliki banyak persamaan, tapi mereka yang memiliki pengertian terhadap setiap perbezaan.
“Muafakat Nasional adalah muafakat untuk semua,” ciapnya di Twitter yang turut disertakan tanda pagar #MNBangkit.
Status yang sama turut dimuatnaik di Facebook, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga sempat bertemu dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Parlimen, hari ini.
Manakala Abdul Hadi di dalam status Facebooknya juga memuatnaik pertemuan bersama Ahmad Zahid di lokasi yang sama.
“Banyak perkara dapat dicapai apabila selalu berjumpa,” ujar Ahli Parlimen Marang itu.
Baru-baru ini dalam satu kenyataan, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO membuat keputusan akan memperkasakan Muafakat Nasional bersama-sama dengan PAS dan komponen Barisan Nasional (BN) dan tidak menyertai Perikatan Nasional sekiranya didaftarkan sebagai badan politik.
Katanya yang juga Pengerusi BN, sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional hanya berlandaskan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu untuk tempoh sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Dalam kenyataan tersebut juga, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen BN telah menyatakan hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Muafakat Nasional.
Begitu juga dengan pendirian PAS yang bersetuju dengan kenyataan Ahmad Zahid itu dan komited untuk bersama UMNO dalam Muafakat Nasional terutama dalam usaha memperkasa sekaligus mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional demi untuk kepentingan negara dan rakyat Malaysia umumnya.
Untuk rekod, pada 14 September tahun lepas, tercatat sejarah yang cukup besar buat rakyat dan negara apabila UMNO dan PAS mengisytiharkan pembentukan Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.
Piagam berkenaan ditandatangani oleh Ahmad Zahid Hamidi dan PAS pula diwakili oleh Abdul Hadi sejurus selesai ucapan kedua-duanya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini pada Himpunan Penyatuan Ummah.
Ramuan kerjasama politik tersebut ternyata membuahkan hasil apabila parti yang bernaung di bawah Muafakat Nasional menang di beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) sejak tahun lalu bermula di Parlimen Cameron Highlands dan terbaharu di DUN Chini. – UMNO ONLINE
👍👍👍 terbaik MAUFAKAT NASIONAL, harap2 kerusi2 umno&pas tidak dibahagi2 kepada bersatu…. bersatu mesti ada kekuatan sendiri, tidak menumpang kerusi2 umno& pas.