Isu Mukhayyam: JAKIM lapor polis, dakwaan Nicole Fong berniat jahat

Tuduhan palsu cuba halang hak kebebasan agama komuniti LGBTQ

BANGI, 13 Zulhijjah 1441H, Isnin – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengecam tindakan pemilik akaun Twitter, Nicole Fong yang menyamakan program Mukhayyam kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) beragama Islam dengan amalan terapi pertukaran dari Barat.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat berhubung kandungan media sosial bertarikh 30 Julai lalu di akaun Twitter Nicole, kerana membuat tuduhan palsu dan tidak berasas mengenai program berkenaan.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Paimuzi Yahya berkata, tujuan laporan polis itu dibuat adalah supaya siasatan lanjut dilakukan terhadap tuduhan palsu berkenaan dan demi menjaga nama baik pihak kerajaan.



“JAKIM mengecam tindakan individu berkenaan yang telah menyamakan program mukhayyam tersebut dengan amalan terapi pertukaran dari Barat seperti terapi menggunakan kejutan elektrik, pembedahan, kahwin secara paksa dan rogol secara kolektif.

“JAKIM berpandangan tuduhan itu berbaur manipulatif, berniat jahat serta dilihat ingin menghalang dan menyekat hak kebebasan beragama warga muslim dalam kalangan komuniti LGBTQ yang ingin menjalani kehidupan yang lebih baik selari dengan tuntutan syariat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Paimuzi menegaskan, pendekatan Program Mukhayyam anjuran JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah bersifat sukarela dengan pendekatan harmoni dan holistik yang menekankan aspek kerohanian, bimbingan, Fardhu Ain, kesedaran kesihatan, motivasi serta bimbingan kerjaya.

Difahamkan, program Mukhayyam ini berbentuk perkhemahan tiga hari dua malam untuk golongan berkenaan, diadakan lapan kali setahun. 



Ia mula diperkenalkan JAKIM kira-kira empat tahun lalu sehingga kini berjaya menarik lebih 500 peserta.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker