Pelaburan RM4.5 Bilion di CVIA bakal wujud 12,000 peluang pekerjaan

Pelaburan berjumlah RM4.5 billion yang diterima Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) daripada lima buah syarikat swasta bakal mewujudkan kira-kira 12,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Perlis.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata pelaburan jangka panjang itu sekali gus dijangka mampu memulihkan sosioekonomi rakyat negeri ini pasca COVID-19.

“Dalam ketika kita semua berdepan dengan wabak pandemik COVID-19, pelaburan begini memberikan impak positif kepada negeri Perlis sekali gus akan meningkatkan perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perlis.

“Peluang pekerjaan juga akan diberikan kepada rakyat tempatan sekali gus pendapatan per kapita juga akan meningkat sekiranya mereka (syarikat-syarikat) menggiatkan usaha pembangunan di sini,” katanya.

Azlan ditemui Bernama selepas Majlis Komitmen Pelaburan di Negeri Perlis anjuran Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Pusat Perniagaan Bersepadu (CVIA-IBC) di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian antara lima syarikat swasta itu dengan Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Issace John Jebasingam yang bertujuan mengiktiraf komitmen pelaburan syarikat tersebut.

Lima syarikat tersebut ialah FGV Intergrated Farming Holdings Sdn. Bhd., MRCB Global Solutions, BioTech Birdnest Sdn. Bhd, Dibuk Synergy Sdn. Bhd. dan Empayar Paradiqma Sdn. Bhd.
BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker