Dihukum sebat kerana tawar perkhidmatan seks dalam talian

BANDA ACEH: Dua wanita Indonesia disebat hampir 100 kali setiap seorang selepas menjual perkhidmatan pekerja seks secara dalam talian.

Aceh, adalah satu-satunya wilayah di Indonesia yang majoriti penduduknya beragama Islam menerapkan undang-undang syariah Islam, memungkinkan hukuman sebat dilaksanakan untuk pelbagai kesalahan termasuk pelacuran, perjudian, perzinaan, minum alkohol, dan seks gay.

Hukuman berkenaan dilakukan semalam di kota Langsa di mana puluhan orang berkumpul untuk menyaksikan pasangan itu disebat, walaupun terdapat larangan untuk berkumpul akibat kebimbangan terhadap Covid-19.

Kedua-dua wanita itu dilihat tidak memakai pelitup muka, sebagaimana petugas yang menjalankan hukuman.

Kedua-dua suspek yang memakai tudung ditangkap pada bulan Mac bersama lima pekerja seks, yang juga boleh berhadapan hukuman sebat jika didapati bersalah melanggar undang-undang Islam, kata Aji Asmanuddin, Ketua Agensi Syariah Islam Langsa.

“Mereka dihukum kerana melanggar syariah dengan mengiklankan (seks) melalui Internet,” kata Asmanuddin.

Pihak berkuasa sedang berusaha untuk mengekang perdagangan seks dalam talian yang sedang berkembang, katanya.

“Ini adalah kes pertama di Langsa walaupun kami yakin ada banyak dari mereka di luar sana.

“Kami tidak mempunyai alat yang diperlukan untuk memantau mereka dalam talian,” katanya.

Kumpulan hak asasi mengecam hukuman sebat di depan umum dan menganggapnya sebagai kejam, dan Presiden Indonesia Joko Widodo meminta hukuman itu dihentikan.

Namun, hukuman itu mendapat sokongan kuat di kalangan penduduk Aceh yang kebanyakannya beragama Islam. HM

Leave a Reply