Beza ‘White Supremacy’ dengan Ketuanan Melayu
Ketika Presiden PAN Mohamad Sabu membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Di Raja di Dewan Rakyat, beliau menyatakan (sebagaimana terkandung dalam Penyata Rasmi Dewan atau Hansard):
“Inilah juga bahaya kalau kita pergi kepada Ketuanan Melayu. Kita kena utarakan Melayu yang berwibawa, Melayu yang bertakwa, Melayu yang berintegriti, bukan Ketuanan Melayu. Kalau kita pergi ke Ketuanan Melayu, ia sama dengan White Supremacy.”
Dalam erti kata lain beliau menyamakan ‘Ketuanan Melayu’ dengan perjuangan perkauman ‘White Supremacy’ di Amerika Syarikat. Ini mendorong Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat bangkit mencelah:
“Saya kira istilah yang digunakan oleh Yang Berhormat Kota Raja White Supremacy dan Ketuanan Melayu itu satu benda yang agak berbeza. Apa yang disebut sebagai Ketuanan Melayu hanyalah menyatakan hak-hak orang Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan, tak lebih daripada itu Yang Berhormat Kota Raja. Terima kasih.”
Menurut Ensaiklopedia Britanica ‘White Supremacy’ merujuk kepada:
“Beliefs and ideas purporting natural superiority of the lighter-skinned, or ‘white,’ human races over other racial groups. In contemporary usage, the term white supremacist has been used to describe some groups espousing ultranationalist, racist, or fascist doctrines.”
“Idea dan pandangan bahawa mereka yang berkulit putih lebih mulia berbanding kaum dan keturunan lain. Menurut penggunaan kontemporari terma ‘white supremacist’ merujuk kepada kumpulan atau kelompok yang memperjuangkan fahaman atau doktrin Nasionalis melampau, Rasis dan Fasis.”
Inilah fahaman kelompok minoriti di Amerika Syarikat satu ketika dahulu sehingga tercetusnya penubuhan Ku Klux Klan iaitu satu kelompok ekstremis kaum yang menentang kehadiran warga kulit hitam dan Afrika di Amerika Syarikat.
Jika Presiden PAN, maksudkan perjuangan ‘Ketuanan Melayu’ adalah sebagaimana di atas, ternyata beliau sama ada tidak faham atau sengaja mahu mengapi-apikan sentimen perkauman sedangkan langsung tiada persamaan antara keduanya.
Benar, tidak sebagaimana perjuangan ‘White Supremacy’, Ketuanan Melayu seperti diutarakan Ustaz Ahmad Fadhli adalah perjuangan menuntut jaminan hak-hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, bermakna ia sesuatu yang terkandung dalam Undang-undang Tertinggi Negara. Sedangkan ‘White Supremacy’ adalah tuntutan melampau yang tiada asas dan justifikasi. Apa bahayanya Ketuanan Melayu?
Janganlah kerana kita berkawan intim dengan DAP yang berjuang menegakkan Malaysian Malaysia maka kita menghina dan memperlekehkan perjuangan hak keturunan kita sendiri. Janganlah kerana sayangkan DAP kita lupakan asal-usul kita.
Kita harus sedar mengikut Perlembagaan Persekutuan, orang-orang Melayu adalah mereka yang menganut agama Islam, ini bermakna apabila kita memartabatkan perjuangan Ketuanan Melayu, kita sebenarnya memperjuangkan hak penganut Islam, yang tiada langsung rasis apalagi Fasis sebagaimana ‘White Supremacy‘ yang dimaksudkan Presiden PAN itu.
Cukup-cukuplah ditunggang DAP. Gunakanlah kedudukan dan suara di Dewan Rakyat untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan bukannya mengadu-domba dan menjadi jurucakap puak rasis dan ekstremis.
Dalam satu laporan portal berita mendiang Prof Khoo Khay Khim pernah berkata punca mengapa kebelakangan kini terdapat pihak-pihak yang mempersoalkan mengenai hak-hak dan keistimewaan yang dinikmati oleh orang Melayu adalah kerana masyarakat pada masa kini sudah buta sejarah.
“Orang tak faham (Perlembagaan)… jahil, mereka tidak tahu apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan, tidak perlu ada perbincangan atau perbahasan mengenai Perlembagaan kerana apa yang penting ikut saja undang-undang yang telah diguna pakai sejak dulu,” katanya.
“Rakyat khususnya kaum-kaum lain perlu sama-sama menghormati hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan kerana pada ketika ia digubal dahulu, kaum lain sendiri sudah bersetuju dengan perkara-perkara yang dimasukkan dalam Perlembagaan tersebut.”
Semoga lepas ini Ahli Parlimen Kota Raja lebih banyak membaca dan faham Perlembagaan
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR