Jumlah penerbangan ke Sarawak dikurangkan dari 1 hingga 14 Ogos
Jumlah semua penerbangan komersial dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan, begitu juga sebaliknya akan dikurangkan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah.
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan Sarawak akan berhubung dengan syarikat penerbangan mengenai jadual pengurangan jumlah penerbangan.
“Arahan ini berkuat kuasa pada 1 hingga 14 Ogos 2020,” katanya pada sidang media perkembangan situasi COVID-19 di Sarawak di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri itu berkata, semua warganegara Malaysia termasuk rakyat Sarawak yang balik dari Semenanjung, Sabah dan Labuan akan dikuarantin di pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan, berkuat kuasa 1 hingga 14 Ogos 2020.
“Sampel ujian COVID-19 akan diambil pada hari ke-2 dan sekiranya keputusan ujian adalah negatif, mereka dibenarkan balik ke rumah tanpa perlu menyambung baki kuarantin.
“Semua kos kuarantin dan ujian sampel akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak untuk semua rakyat Sarawak termasuk penjawat awam Persekutuan yang bertugas di Sarawak,” katanya.
Namun, Uggah berkata bagi mereka yang tidak tergolong seperti dinyatakan tadi, mereka perlu menanggung sendiri kos kuarantin dan ujian sampel COVID-19.
Beliau menambah, arahan sebelum ini yang dikeluarkan bagi warganegara dan bukan warganegara Malaysia yang balik dari luar negara masih lagi berkuat kuasa.
Menurut Uggah, JPBNS juga telah berbincang dengan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sarawak dan memutuskan pendaftaran pelajar baru dan senior secara bersemuka bagi sesi pengajian Jun 2020 ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kemudian.
Ia melibatkan Politeknik Kuching Sarawak, Politeknik Mukah Sarawak, Politeknik Metro Betong Sarawak, Kolej Komuniti Kuching, Kolej Komuniti Mas Gading, Kolej Komuniti Santubong, Kolej Komuniti Betong, Kolej Komuniti Sarikei dan Kolej Komuniti Miri. UB
You must be logged in to post a comment.